• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Tun M Kagum Pengusaha Produk Makanan di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 November - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji dua syarikat perusahaan makanan di Kuala Terengganu semasa lawatan kerja sebagai Penasihat Kehormat kepada empat negeri (SG4) di sini.

Menurutnya, beliau bangga kerana ada pengusaha Melayu yang menggunakan cara moden mengeluarkan produk barangan makanan untuk eksport ke Australia, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Saudi, Ireland dan lain-lain. 

Katanya, penggunaan mesin boleh percepat dan perbanyakkan produk mereka di samping menjaga konsistensi sesuatu produk. 

“Lawatan tersebut diadakan di kilang pengusaha AdeqSue yang menyediakan makanan siap masak dalam bentuk pek (package), dan Muslim Food Industries.

“Perusahaan tersebut mengeluarkan makanan seperti bihun, mee, laksa, kuetiau, bebola ikan dan lain-lain,” katanya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi miliknya kelmarin.

Tambah Tun Dr Mahathir, kedua-dua perusahaan itu menggunakan jentera mesin yang boleh hasilkan pengeluaran dalam jumlah besar dan memenuhi permintaan. 

“Ia merupakan contoh terbaik yang boleh dijadikan panduan kepada pengusaha lain yang berminat dalam bidang sebegini.

"Industri pembuatan dan pembungkusan seperti ini mempunyai permintaan harian kerana barang makanan biasanya diperlukan setiap hari,” katanya.

Selain itu, perusahaan ini juga memerlukan pengurusan logistik yang cekap bagi menentukan ia sampai ke pasaran.

Jelasnya lagi, apabila sesuatu industri diadakan, ianya membuka peluang kerja kepada orang tempatan dan sekeliling. 

Beliau berkata, keperluan logistik menghantar produk itu tadi juga adalah peluang kerja kerana kenderaan memerlukan pengendali seperti kelindan dan pemandu. 

“Ini sahaja sudah beri pendapatan kepada orang tempatan dan kitaran ekonomi berlaku secara tidak langsung. 

“Selain peluang kerja, saya dapati perusahaan seperti ini mengajar peniaga bagaimana membekal mengikut permintaan. 

“Jika kita masak secara manual dalam jumlah sedikit, ini sekadar memenuhi permintaan sekeliling kita sahaja. 

“Tetapi jika kita guna mesin atau jentera dan adaptasi kaedah pengeluaran secara besar-besaran, bukan sahaja permintaan sekeliling boleh dipenuhi malah permintaan di luar kawasan termasuk di luar negara juga kita mampu penuhi dan kuasai.

“Kita perlu hantar barangan kita ke negara-negara lain, jadi pasaran bukan lagi sekadar di kampung atau dalam negara tetapi terus ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.