lightning-solid
Berita :
Tuntutan RM1.43 bilion LPT2 ditolak: 'Kaedah mana PMX guna?' soal Dr Azman
Tuntutan RM1.43 bilion LPT2 ditolak: 'Kaedah mana PMX guna?' soal Dr Azman
Hidayah Azlin
8 jam yang lepas
134

KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Kerajaan Persekutuan digesa memperincikan kaedah atau mekanisme yang digunakan bagi menolak tuntutan bayaran balik baki dana pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang melibatkan peruntukan wang royalti minyak Terengganu.

Isu berkenaan dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim bagi mengulas jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.

Menurut Dr Azman, projek pembinaan lebuh raya merupakan projek di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan sewajarnya tidak menggunakan dana milik kerajaan negeri.


"Lebuhraya ialah projek Kerajaan Persekutuan. Mana boleh guna wang milik negeri. Malah, Kerajaan Negeri juga tidak ada hak untuk mengutip tol daripada pengoperasian LPT2 tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa prinsip hutang pasca-pembinaan tersebut perlu diselesaikan secara telus, sama ada ia melibatkan hutang kerajaan negeri kepada pusat mahupun sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan asas keputusan yang diambil oleh Perdana Menteri dalam menolak bayaran balik baki dana yang dianggarkan mencecah RM1.43 bilion itu.

"Hutang perlu dibayar, sama ada hutang negeri kepada pusat atau hutang pusat kepada negeri. Jadi, kaedah mana PMX guna untuk tolak bayaran balik ini?" soalnya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen menyatakan bahawa tuntutan bayaran balik berkenaan tidak berbangkit kerana Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang digunakan sebelum ini tidak mempunyai peruntukan pembayaran balik kepada mana-mana kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pihak Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini menegaskan terdapat kertas Kabinet yang memperincikan persetujuan untuk membayar balik jumlah RM1.43 bilion itu, memandangkan kos keseluruhan pembinaan LPT2 yang mencecah RM1.8 bilion tersebut menggunakan peruntukan royalti Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan