• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Turun RM6 Juta, Kerajaan PH Tak Serius Bela Anggota Bomba Dan Penyelamat

Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir.
Oleh: Dzakaria Mohd Salleh, Helmi Abd Salam

KUALA LUMPUR, 6 Disember - Penurunan bajet RM6 juta bagi emolumen anggota bomba dari tahun 2018 ternyata memperlihatkan Kerajaan Persekutuan yang masih tidak memberi perhatian serius kepada keselamatan dan kebajikan anggota bomba dan penyelamat.

Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, emolumen bagi anggota bomba yang berjumlah seramai 14,751 orang diturunkan daripada RM619.2 juta pada 2018 kepada RM613.2 juta pada 2019.

"Ianya telah mengalami penurunan sebanyak RM6 juta. Mengikut rekod, negara telah dikejutkan dengan kematian enam orang anggota bomba ketika operasi menyelamat mangsa lemas di Puchong Perdana baru-baru ini (3 Oktober).

"Tambahan pula, yang terdekat isu seorang anggota bomba yang cedera dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman juga perlu diberi perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas tentang butiran 030100 Bomba dan Penyelamat pada Sidang Parlimen yang sedang berlangsung sekarang sehingga 15 Disember ini.

Katanya, dalam anggaran bajet 2019 yang dibentangkan baru-baru ini, ternyata kerajaan masih tidak memberi perhatian serius kepada angota bomba dan penyelamat.

"Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan disaran untuk memberi perhatian serius kepada pasukan bomba dan penyelamat yang menjalankan tugas berisiko untuk menyelamatkan mangsa bencana atau tragedi.

"Saya mencadangkan agar pihak kerajaan menaikkan elaun angota bomba dan penyelamat yang mempertaruhkan nyawa bagi keselamatan masyarakat," tegasnya.


Tag: