• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Ubah Persepsi Masyarakat Tentang Penagihan Dadah

 

HULU TERENGGANU, 24 Ogos – Stigma negatif masyarakat terhadap golongan penagih dadah perlu diubah, terutama terhadap bekas penagih yang sedang bergelut untuk kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah(JKPD) Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata sokongan masyarakat sekeliling sangat diperlukan oleh golongan ini untuk sentiasa kekal positif dan bersemangat menjauhi gejala penyalahgunaan dadah.

Katanya, gejala penyalahgunaan dadah ini sememangnya satu isu besar yang perlu ditangani segera. Walaupun terdapat agensi ditubuhkan untuk membanteras aktiviti tidak sihat ini, tanggungjawab menangani masalah ini sebenarnya harus dipikul setiap warga Malaysia.

"Kes penyalahgunaan dadah boleh berlaku dan bermula di mana-mana sahaja. Jadi, komuniti setempat boleh memainkan peranan melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan mereka.

"Usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah memerlukan bantuan setiap individu. Jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan tindakan yang sepatutnya dilakukan bagi sesuatu keadaan, ia boleh disalurkan kepada pihak berwajib seperti polis ataupun agensi bertanggungjawab untuk membanteras penyalahgunaan dadah iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Semoga segala usaha yang kita dilakukan mampu mengatasi gejala penyalahgunaan dadah seterusnya menjadikan Malaysia negara yang bebas dadah demi kemakmuran bersama," katanya dalam program Outreach bersama JKPD, Ajil baru-baru ini..

Terdahulu, seramai lapan klien CCIC disantuni melalui program komuniti untuk bertanya khabar serta menghulurkan sumbangan kepada  klien-klien di bawah seliaan AADK.

" Kita mahu mereka ini merasakan masih ada diluar sana yang masih mengambil berat terhadap mereka.orang ramai terutama sekali ahli keluarga dan kawan-kawan bekas penagih untuk tidak mengasingkan, memulaukan mereka kerana tanpa bantuan ahli keluarga, kawan-kawan dan masyarakat, mereka tidak akan berjaya jadi “baik” dan pulih sepenuhnya.

“Jiwa mereka sangat sensitif, yang perlukan perhatian dan pemedulian, penagih tidak selamanya jahat atau kotor, maka jangan dilabel seratus peratus jahat, dan beri peluang untuk mereka kembali ke pangkal jalan dan sebab itu golongan penagih dadah di negara ini tidak sepatutnya dihukum sebaliknya dibantu untuk keluar daripada masalah ketagihan yang membelenggu diri mereka.

Tambah beliau lagi, kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab untuk menghentikan pengedaran dadah tetapi juga memberi lebih tumpuan kepada kempen pencegahan dadah yang berkesan dan menyediakan rawatan ketagihan dadah yang lebih mudah untuk diakses.