• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ubah Persepsi Terhadap Duyong Marina & Resort Terengganu

Agihan bubur lambuk.
KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Pengurusan Duyong Marina & Resort Terengganu mengagihkan 2,100 bekas bubur lambuk kepada orang ramai sempena menyambut Ramadan dan untuk mengubah persepsi negatif rakyat Terengganu terhadap syarikat itu. 

Pemangku Pengurus Besar Duyong Marina & Resort Terengganu, Sham Fadzli Yusof berkata, program yang diadakan itu adalah usaha pihaknya untuk mendekatkan anak syarikat kerajaan negeri itu dengan keseluruhan rakyat Terengganu.

Jelasnya, ia berikutan wujudnya sebilangan besar warga Terengganu yang menganggap Duyong Marina & Resort adalah untuk golongan atasan.

“Agihan bubur lambuk ini kita adakan setiap tahun di permulaan bulan Ramadan, untuk tahun ini kita buat 2,100 bekas.

“Kita rasa persepsi orang terhadap Duyong Marina ini adalah tempat untuk orang atasan, tempat yang eksklusif dan mahal, sebenarnya tidak, jadi program ini juga kita dapat ubah persepsi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Agihan Bubur Lambuk di Jambatan Sultan Mahmud, di sini semalam.


Beliau turut berkata, program bersama masyarakat akan terus dianjurkan oleh Duyong Marina & Resort dalam usaha untuk terus mempromosikan anak syarikat itu kepada umum.

Katanya lagi, sepanjang bulan Ramadan juga, pihaknya juga membuat banyak tawaran kepada seluruh rakyat Terengganu sebagai langkah untuk meningkatkan lagi kuantiti masyarakat yang berkunjung ke sana.

“Kita juga ada buat majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Duyong Marina, yang kita adakan pada hari kedua atau ketiga Ramadan, kita akan jemput seramai 100 hingga 200 orang anak yatim, juga sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Buffet untuk berbuka puasa juga ada disediakan dengan harga RM59, selain pakej yang terbaik untuk semua yang berminat untuk ke Duyong Marina.

“Termasuk ada ditawarkan pakej bilik serendah RM158 dan RM178 (termasuk sahur) satu malam, yang di paras harga mampu milik, kita nak buang persepsi tempat itu mahal,” tambahnya lagi.


Tag: