Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
UC TATI Tawar Pengajian Kepada Anak Muda Indonesia Belajar Kemahiran
PEKANBARU, 27 Februari - Kolej Universiti TATI (UC TATI) menawarkan pengajian terbaik kepada anak muda di Pekanbaru, Indonesia untuk mendalami pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET) dan dijamin akan menjadi destinasi pengajian yang tepat.
Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, fakultinya itu menawarkan pelbagai jurusan yang seiring dengan perkembangan dunia hari ini yang menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi dan akan menjadi faktor relevan untuk diterima bekerja dalam pelbagai industri.
Justeru beliau menyakinkan anak muda dari Pekanbaru untuk melanjutkan pengajian sama ada ke peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana Muda dan Sarjana ke UC Tati dengan menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus khusus untuk pelajar dari daerah Riau itu.
"Kami mempunyai jaringan industri yang luas dengan syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia termasuk Petronas dan industri teknologi lain, menjadikan graduan UC TATI lebih mudah memperoleh pekerjaan.
"Hampir semua syarikat besar di Malaysia memilih graduan kami sebagai tenaga kerja mereka, jadi tidak perlu risau kalau hendak mencari kerja,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Higher Education Fair 2025 Indonesia, di Hotel Zuri, di sini, semalam.
Katanya, UC TATI telah membuka booth khas di pameran tersebut yang diadakan bermula 22 Januari dan telah berakhir semalam.
Mengulas lebih lanjut mengenai tawaran pendidikan yang ditawarkan pihak TATI UC kepada pelajar dari Pekanbaru itu menutur Dr. Hairul pihaknya akan memudahkan syarat dokumen untuk proses pendaftaran agar menjadi tidak rumit.
"Malah kami turut menerima pindahan dari Universiti Indonesia bagi membolehkan mereka menyambung pengajian tanpa perlu mengulang dari awal, selagi program tersebut bersesuaian.
"Jika jurusan mereka sepadan boleh terus menyambung pengajian tanpa perlu banyak penyesuaian,"ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memeberi jaminan pelajar dari negara tersebut tidak akan mengalami kejutan budaya ketika belajar di Malaysia khususnya di Terengganu kerana dari sudut hubungan sejarah Indonesia dan Malaysia memilik pertalian yang erat.
"Justeru, perbezaan dari segi bahasa, budaya, makanan serta cara hidup tidak akan menjadi halangan bagi pelajar Indonesia untuk menyesuaikan diri,"katanya.
Terdahulu, UC TATI juga telah memperkukuh jalinan akademik melalui perjanjian Kerjasama UC TATI dengan SMKN2 Pekanbaru bertujuan membuka peluang pertukaran pelajar, tenaga pengajar serta pembangunan akademik akan lebih mampan antara kedua-dua institusi tersebut.