UCTATI, KYT dan KQT: Terengganu Sedia Laluan Pendidikan Lanjutan

KUALA NERUS, 24 April – Kerajaan negeri terus memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak-anak negeri dengan membuka peluang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti Kolej TATI (UCTATI), Kolej Yayasan Terengganu (KYT), Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT) dan Kolej al-Quran Terengganu (KQT).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, institusi-institusi ini diwujudkan bagi memastikan pelajar mempunyai pilihan lanjutan pendidikan yang berkualiti tanpa perlu keluar dari negeri sendiri.

"Kita buka ruang seluas-luasnya untuk pelajar menyambung pengajian dan kerjaya mereka, sama ada dalam bidang Islamik, kemahiran, atau teknologi," katanya dalam ucapannya di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Imtiaz ke-15, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini baru-baru ini.

Beliau menekankan bahawa institusi milik kerajaan negeri bukan sahaja menawarkan yuran yang berpatutan, malah turut menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan berteraskan nilai-nilai Islam.

"Pelajar boleh memilih untuk menyambung pelajaran di mana-mana institusi ini sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada dalam negara atau luar negara," ujarnya.

Tambah beliau, usaha ini adalah kesinambungan kepada dasar pendidikan negeri yang komited membina generasi berilmu, beriman dan berdaya saing.

"Kita tak mahu ada pelajar cemerlang yang tercicir hanya kerana tiada tempat atau kos terlalu tinggi di luar," jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan terus menambah baik kemudahan serta memperluas kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan tinggi lain bagi meningkatkan kapasiti penerimaan pelajar.

"Hasrat kita adalah supaya setiap anak Terengganu, tanpa mengira latar belakang, mampu memperoleh pendidikan terbaik dan menyumbang kembali kepada negeri serta negara," ujarnya.