• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

UMNO Negeri Adakan Bengkel Khas Untuk Tawan Semula 15 DUN



Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu akan mengadakan bengkel khas minggu hadapan, bagi memastikan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kalah dapat dikembalikan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Pengerusinya, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya menyasarkan untuk merampas semula kerusi DUN terutama di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun yang ditawan pembangkang pada PRU13 lalu.
"Mulai minggu hadapan, kita mahu laporan dibentangkan daripada setiap DUN yang kalah pada setiap Rabu (malam) secara bergilir-gilir.
"Laporan perlu merangkumi isu-isu, strategi dan apa tindakan yang perlu dibuat untuk memastikan kawasan yang kalah dapat ditawan semula,"katanya.
Beliau berkata demikian di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Marang 2016, di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menteri Besar juga berkata, tumpuan kepada empat Parlimen yang dikenali sebagai Kempen '1011' bagi mewakili kerusi DUN yang menang pada PRU lalu, masing-masing satu di Kuala Nerus, tiada kerusi di Kuala Terengganu dan masing-masing satu kerusi DUN di Marang serta Dungun.
"Kita mahu supaya kita kepung baik-baik kawasan yang kuat pengaruh pembangkang ini untuk pastikan kemenangan menjadi milik kita," katanya.
Selain itu, menurutnya UMNO negeri sudah melancarkan pertandingan antara Pusat Daerah Mengundi dan menyediakan bajet kepada cawangan-cawangan supaya membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi PRU14

Tag: