KUALA NERUS, 24 Februari — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama strategik Nestlé Malaysia mengagihkan sebanyak 1,200 bekas bubur lambuk serta 300 Bakul Ramadan kepada pelajar asnaf, kakitangan universiti yang memerlukan dan keluarga kurang berkemampuan di sekitar kampus menerusi program Kongsi Rezeki Ramadan, semalam.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, penganjuran kali kedua program berkenaan membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan institusi pengajian tinggi dan industri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Nestlé Malaysia atas sumbangan 300 Bakul Ramadan yang mengandungi pelbagai produk makanan serta tajaan juadah berbuka puasa kepada para hadirin melalui jalinan kerjasama Pusat Ihsan UMT.

Sementara itu, aktiviti gotong-royong penyediaan bubur lambuk diadakan dengan melibatkan penyertaan pelajar, staf universiti dan komuniti setempat sekali gus mengukuhkan semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan warga kampus.
UMT memaklumkan bahawa kerjasama bersama Nestlé Malaysia akan terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan mahasiswa pada masa hadapan.
