• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

UMT Terima Alat Penguji Madu Lebah

KUALA NERUS, 12 Disember - Kerajaan negeri menyerahkan aset penguji ketulenan madu lebah dan kelulut kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi melakukan kajian pembuktian ketulenan produk sebelum dipasarkan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata alat High Performance Liquid Chromatography (HPLC) yang bernilai hampir RM400,000 merupakan alat ujian saintifik untuk menganalisis tahap ketulenan.

Katanya, dengan adanya peralatan canggih itu pastinya dapat membantu penternak lebah serta kelulut dan usahawan madu meluaskan pasaran masing- masing bukan sahaja secara tempatan malah sehingga luar negara.

"Pelanggan  akan lebih yakin dengan produk yang dipasarkan kerana ada bukti ketulenan dan bukannya madu tiruan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Penyerahan Aset HPLC Kepada UMT di universiti itu, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMT Prof Dr Mazlan Abd Ghafar.

Dr Mazlan menyifatkan sumbangan itu pengiktirafan yang tinggi kepada UMT. Dengan adanya HPLC sudah pasti dapat memudahkan penyelidik, pelajar, usahawan mengurus selia pengiktirafan tahap ketulenan cecair secara tepat.

Katanya, HPLC yang dilengkapi pengesan Refractive Index (RID), berfungsi dalam mengesan kandungan gula ringkas.

“Contoh gula ringkas yang terdapat dalam madu ialah sukrosa, fruktosa, maltosa, glukosa dan sebagainya.

Kehadiran dan kepekatan setiap gula ringkas dalam madu, Hidrometilfurfural (HMF) dan kumpulan sebatian fenolik inilah yang dijadikan kayu asas dalam nentu ketulenan madu.

"Jika didapati gula ringkas tertentu dalam kepekatan tinggi, maka dapat dikatakan bahawa kandungan madu yang dipasarkan adalah tidak tulen iaitu yang telah ditambah dengan gula atau pemanis tiruan,”katanya..

 


Tag: