Jalur Gemilang
Berita :
UMT Terima RM315,000 Dari MAIDAM Bagi Baucar Makanan Dapo MAIDAM@UMT
UMT Terima RM315,000 Dari MAIDAM Bagi Baucar Makanan Dapo MAIDAM@UMT
Noraini Jusoh
3 jam yang lepas
26

KUALA NERUS, 22 Oktober - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima sumbangan sebanyak RM315,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi pelaksanaan inisiatif Baucar Makanan Dapo MAIDAM@UMT .

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, inisiatif berkenaan menyasarkan mahasiswa yang memerlukan khususnya daripada golongan asnaf sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.

Katanya, sumbangan yang diterima daripada MAIDAM amat bermakna dalam menyokong usaha UMT memastikan mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan terus mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya. 

Menurut beliau, penyediaan bantuan makanan melalui Dapo MAIDAM@UMT juga merupakan sebahagian daripada usaha UMT dalam memastikan keperluan asas mahasiswa tidak menjadi penghalang kepada kelangsungan pengajian. 

“Bagi mahasiswa yang mempunyai kekangan kewangan, bantuan seperti ini amat penting kerana ia bukan sahaja membantu memenuhi keperluan makanan, tetapi turut memberikan ruang kepada mereka untuk menguruskan perbelanjaan lain yang berkaitan dengan pengajian. 

"UMT akan terus memastikan bantuan yang diterima disalurkan kepada mahasiswa yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Katanya, melalui peruntukan tersebut, seramai 700 orang mahasiswa dijangka menerima manfaat menerusi baucar makanan bernilai RM15 bagi setiap penyediaan makanan, sebanyak 30 kali bagi setiap penerima. 

Terdahulu, sumbangan tersebut disampaikan dalam Majlis Penyerahan Cek Cura Dapo MAIDAM@UMT yang berlangsung di Auditorium Sulaiman, Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, UMT, hari ini. 

Dalam majlis berkenaan, pihak MAIDAM menyerahkan cek cura bernilai RM315,000 kepada Profesor Dr Mohd Izani. 

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, sumbangan terkini itu merupakan kesinambungan sokongan MAIDAM kepada UMT yang telah disalurkan sejak tahun 2023 bagi membantu keperluan kebajikan dan makanan mahasiswa. 

"Sehingga tahun 2026, jumlah keseluruhan sumbangan yang telah diterima UMT daripada MAIDAM telah mencapai RM1,017,940 dengan manfaat kepada 2,959 orang pelajar UMT, " ujarnya. 














Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan