• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

UniSZA Cadang Teroka IoT Martabatkan Bidang Agrikultur dan Pengurusan Bencana


Add caption
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bercadang meneroka perkhidmatan dan teknologi berkaitan industri Internet of Things (IoT) bagi memartabatkan bidang agrikultur dan pengurusan bencana.

Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, Prof  Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, pembangunan IoT yang merujuk kepada pemusatan pelbagai teknologi daripada komunikasi tanpa wayar kepada internet itu sedang dijalankan ketika ini.

Katanya, buat permulaan UniSZA telah memulakan digital hab di kampus Besut dan akan disusuli program ladang tenusu di Ladang Pasir Akar yang akan dilancarkan minggu depan dalam mewujudkan konsep kerjasama pintar digital serta pertanian pintar.

"Kita akan membawa teknologi canggih IoT terutama dalam memartabatkan kedua-dua bidang itu.


"Selain itu, kita juga akan membangunkan sistem pengurusan bencana sebagai amaran awal buat masyarakat setempat dan ketika ini timbalan naib canselor penyelidikan dan inovasi universiti telah pun mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis Malam Anugerah Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 2017 di Kuala Nerus, malam tadi.

Hadir sama, Naib Canselor, Prof  Datuk Dr Ahmad Zubaidi A. Latiff.

Menurut Kamaruddin, sistem pengurusan bencana itu akan berpusat di masjid dengan dilengkapi pelbagai teknologi termasuk wifi serta kemudahan lain bagi mengukur tahap kekeringan dan suhu.

“Perkembangan itu kelak secara tidak langsung dapat menaikkan lagi nama universiti awam ke-18 di Malaysia itu sebaris institusi lain,”katanya.

Tag: