Berita :
Usaha Kecil Jadi Empayar Kafe, Kerajaan Bantu Usahawan Muda Jana RM600,000 Sebulan
Usaha Kecil Jadi Empayar Kafe, Kerajaan Bantu Usahawan Muda Jana RM600,000 Sebulan
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
132

KUALA TERENGGANU, 21 April – Sokongan berterusan kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) terus membuahkan hasil apabila seorang usahawan muda dari Terengganu berjaya mengembangkan perniagaan kecil-kecilan kepada rangkaian kafe dengan pendapatan mencecah RM500,000 hingga RM600,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman, berkata kejayaan Nur Sarah Adlina Muhammad, 31, membuktikan Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) bukan sekadar latihan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kelahiran usahawan belia yang benar-benar berdaya saing.

Menurutnya, graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk itu memulakan perniagaan secara kecil-kecilan ketika pandemik Covid-19 dengan menjual kuih kepada rakan-rakan melalui aplikasi WhatsApp serta dari rumah ke rumah.

Katanya, daripada permulaan sederhana itu, Nur Sarah kini berjaya membina jenama sendiri apabila membuka tiga lagi cawangan kafe Pestalmonomy, menggaji 35 pekerja dan merekodkan hasil jualan bulanan yang memberangsangkan.

“Sekarang Nur Sarah telah berjaya mengembangkan perniagaan dengan membuka tiga lagi cawangan kafe Pestalmonomy, jumlah pekerja seramai 35 orang serta menjana pendapatan sekitar RM500,000 hingga RM600,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Shah Mohamed (PAS-Bandar) pada sesi soal jawab lisan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman.

Ahmad Shah meminta penjelasan mengenai kejayaan yang dicapai menerusi program UBES dalam membantu usahawan daripada kalangan graduan di negeri itu.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata UBES yang diperkenalkan sejak 2019 menjadi platform utama kerajaan negeri bagi membuka ruang kepada belia berusia 18 hingga 40 tahun menceburi bidang keusahawanan tanpa mengambil kira latar belakang pendidikan.

Katanya, sehingga kini sebanyak empat siri UBES telah dilaksanakan membabitkan 155 peserta, dengan kadar kelangsungan perniagaan yang disifatkan sangat memberangsangkan.

“Sebanyak 97 peratus peserta UBES masih menjalankan perniagaan, dengan purata peningkatan jualan melebihi 15 peratus, selain berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada seramai 449 orang,” katanya.

Kejayaan itu, menurut beliau, menggambarkan pendekatan kerajaan negeri dalam memperkasa usahawan belia bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan peserta, malah turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan