Oleh : Fatimah Din
MARANG, 9 Februari – Keprihatinan terhadap keperluan masyarakat mendorong seorang usahawan dibawah bimbingan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu menawarkan perkhidmatan cucian van jenazah secara percuma.
Nofadli Hissam Ariffin, 38, yang turut mendapat pembiayaian melalui Skim Dana Usahawan Belia Terengganu (DUTE), YPU berkata, perkhidmatan berkenaan disediakan khusus bagi membantu urusan kebajikan komuniti.
“Kami sediakan cucian van jenazah secara percuma, cuma perlu hubungi kami dahulu untuk tempahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dibengkelnya, baru - baru ini.
Nofadli berkata, bantuan peralatan yang diterima melalui DUTE iaitu 'Karcher Puzzi 8/1c Carpet' dan 'Upholstery Cleaner' telah banyak membantu mempercepatkan operasi cucian.
“Sebelum ini proses cucian agak lambat dan memakan masa, tetapi selepas menerima peralatan ini, kerja jadi lebih cepat dan kemas,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Nofadli turut menitipkan pesanan kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang keusahawanan agar mempunyai kesungguhan dan disiplin tinggi.
“Kalau barang dah ada tapi buat kerja sambil lewa, perniagaan tak akan menjadi. Saya sendiri belajar, masuk kursus dan pastikan cucian dibuat mengikut prosedur yang betul,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YPU, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman serta Pusat Khidmat DUN Alur Limbat atas sokongan dan sumbangan yang diterima, sekali gus membuka ruang untuk beliau memberi kembali khidmat kepada masyarakat.