• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Usahawan PKS Disaran Rebut Dana RM6.7 Bilion

Dato’ Ahmad Maslan ketika merasmikan Program Outreach MITI Dan Agensi Dengan Kerjasama Majlis Sektretariat Pembangunan Usahawan Terengganu di Dewan Kovensyen Yayasan Pembangunan Usahawan, hari ini. Foto oleh Zulkifli Putra
Usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) khususnya Bumiputera digesa mengambil peluang memanfaatkan dana berjumlah RM6.7 bilion yang disediakan kerajaan menerusi Bajet 2017 kepada PKS, mulai tahun hadapan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1.52 bilion dikhaskan untuk usahawan Bumiputera bagi menggalakkan sektor berkenaan.

 “Saya ingin menggesa usahawan PKS terutama di Terengganu dan seluruh negara merebut dana RM6.7 bilion yang disediakan kerajaan untuk tahun hadapan di mana RM1.52 bilion dikhususkan untuk Bumiputera dan selebihnya terbuka untuk Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan bagi membantu menjadikan usahawan PKS ini sebagai tulang belakang kepada ekonomi negara,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Outreach MITI Dan Agensi Dengan Kerjasama Majlis Sektretariat Pembangunan Usahawan Terengganu di Dewan Kovensyen Yayasan Pembangunan Usahawan, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan , Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad; Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Roslee Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp Malaysia, Dato’ Hafsah Hashim.

Menurut beliau, sebanyak RM75 juta diperuntukan untuk Promosi Pembangunan, Skim Jaminan Modal Kerja (RM200 juta) dan e-Dagang (RM160 juta).

“Manakala, RM1.52 bilion untuk syarikat bumiputera antaranya TEKUN (RM300 juta), PUNB (RM200 juta), MARA (RM120 juta), TERAJU (RM500 juta) dan SME Bank serta Amanah Ikhtiar Malaysia masing-masing RM100 juta,” ujarnya.

Katanya, ianya sebagai bantuan pembiayaan, modal insan, prasarana, akses pasaran, dan inovasi malah boleh dimohon sama ada sebagai pembiayaan, pinjaman mahupun geran.



Tag: