Berita :
Usahawan PMKS Terengganu Berpeluang Terima Geran Halal Sehingga RM50,000
Usahawan PMKS Terengganu Berpeluang Terima Geran Halal Sehingga RM50,000
Mastura Jamal Din
8 jam yang lepas
41

KUALA TERENGGANU, 16 Mac -  Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Terengganu yang berpotensi dalam industri halal berpeluang menerima geran sehingga RM50,000 bagi memperkukuh kapasiti pengeluaran dan memperluaskan pasaran perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, geran berkenaan disediakan menerusi kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Halal Development Corporation (HDC) bagi memperkasakan usahawan halal tempatan.

Menurutnya, bantuan itu boleh dimanfaatkan untuk pembelian mesin, peralatan pemprosesan serta menaik taraf keupayaan pengeluaran agar perniagaan usahawan lebih kompetitif.

“Peningkatan kapasiti pengeluaran dan pematuhan terhadap standard halal merupakan antara faktor utama yang membolehkan usahawan menembusi pasaran yang lebih luas, termasuk di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Pemerkasaan dan Intervensi Usahawan Halal PMKS di Ar Riyadah Residence, di sini hari ini.Program berkenaan disertai seramai 60 peserta dari Kelantan, Terengganu dan Pahang yang terdiri daripada usahawan PMKS serta individu yang berminat untuk memperkukuh pemahaman dan keupayaan dalam industri halal.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui Majlis Halal Terengganu turut giat membangunkan ekosistem halal yang menyeluruh dengan penglibatan beberapa agensi utama.

Menurutnya, antara agensi yang memainkan peranan penting ialah Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat profesional dalam bidang halal.

“THRDC melatih tenaga kerja yang memiliki sijil profesional dalam bidang halal, termasuk individu yang berpotensi menjadi perunding halal, pakar audit dalaman halal serta tenaga profesional yang membantu syarikat mendapatkan pensijilan halal,” ujarnya.

Tambah beliau, THRDC turut melaksanakan program Certified Halal Professional (CHAP) hasil kerjasama strategik bersama HDC bagi melahirkan tenaga pakar dalam industri tersebut.

“Program ini berjaya melahirkan seramai 102 profesional halal pada tahun 2024 dan 103 orang lagi pada tahun 2025.

“Graduan program ini mempunyai kepakaran untuk membantu syarikat menyediakan dokumentasi serta proses yang diperlukan bagi mendapatkan pensijilan halal,” katanya.
Selain itu, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada usahawan termasuk latihan keusahawanan, bantuan pembiayaan serta program pembangunan kapasiti perniagaan.

Menurut Ariffin, sokongan bersepadu itu penting kerana proses pensijilan halal memerlukan kepakaran teknikal dan pematuhan terhadap standard yang tinggi.

Beliau berkata industri halal kini berkembang pesat dan tidak lagi tertumpu kepada keperluan pengguna Muslim semata-mata, sebaliknya telah menjadi sektor ekonomi global bernilai trilion ringgit.

“Permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal terus meningkat bukan sahaja di negara Islam malah di pasaran antarabangsa.

“Ini membuka peluang besar kepada usahawan PMKS tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai usahawan di Terengganu dapat memanfaatkan peluang yang disediakan, sekali gus meningkatkan standard perniagaan dan memperkukuh jenama produk halal dari negeri ini.

“Dengan kerjasama semua pihak, kita yakin Terengganu mampu melahirkan lebih ramai usahawan halal yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan