• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Wakil Rakyat Contoh Terbaik Pupuk Perpaduan-YB Maliaman

YB Maliaman bersama sebahagian Masyarakat Cina Ajil sempena Majlis Ramah Mesra bersama mereka baru-baru ini.


HULU TERENGGANU - Kepelbagaian kaum, agama dan fahaman politik bukan satu kekangan untuk bersatu padu bagi mengekalkan keharmonian rakyat Malaysia.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, faktor politik dan perbezaan agama bukan penghalang untuk masyarakat di negeri ini saling mengukuhkan perpaduan dan jalinan ukhwah.

"Sebagai orang politik yang sentiasa dilihat dan menjadi perhatian rakyat, kita harus memberikan contoh yang terbaik buat mereka.

"Jangan wujudkan provokasi seperti menyentuh sentimen agama dan sebagainya bagi menjaga perhubungan antara pemimpin dan rakyat,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, di sini, baru-baru ini.

Maliaman yang juga ADUN Ajil berkata, peranan ini perlu dimainkan bersama dan rakyat turut bertanggungjawab untuk menjaganya bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian ini.

"Hormatilah agama masing-masing, bersikap toleransi dan paling penting menghormati Islam sebagai agama rasmi negara ini,"ujarnya lagi .

Dalam pada itu, Maliaman berkata, DUN Ajil sendiri cukup bertuah kerana semangat perpaduan masih menebal tanpa mengambil kira perbezaan agama dan bangsa.

"Masyarakat di sini seperti seperti satu keluarga, bersahabat baik dulu hingga kini dan boleh duduk semeja dalam pelbagai hal tanpa masalah.

"Sebagai wakil rakyat, saya turut turun padang bagi menjaga dan jalinkan hubungan baik antara semua kaum termasuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang layak secara adil dan telus,"katanya.

Tag: