lightning-solid
Berita :
Wan Amzar Raih Anugerah Khas EXCO Pendidikan Kali Kedua
Wan Amzar Raih Anugerah Khas EXCO Pendidikan Kali Kedua
Zahid Mustafar
24 Nov 25
88

KUALA TERENGGANU, 24 November – Tiga pelajar Terengganu yang berjaya memperoleh keputusan 10 Mumtaz dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas EXCO Pendidikan Terengganu 2025, hasil kecemerlangan berterusan dalam akademik dan kepimpinan pelajar peringkat negeri.

Penerima utama, Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan, meraih anugerah tersebut buat kali kedua selepas turut menerima penghargaan sama pada tahun lalu. 

Pelajar kelahiran Jerteh itu sebelum ini pernah mengharumkan nama negara sebagai Pendebat Bahasa Arab Terbaik Dunia di Doha pada 2023, di samping pencapaian cemerlangnya dengan 11A dalam SPM, serta penglibatan aktif sebagai Presiden Pra-Universiti STAM, Presiden Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR) dan ADUN Belia Terengganu bagi DUN Kota Putera.

Kecemerlangan beliau ini juga selari dengan rekod yang pernah dilaporkan pada sebelum ini, apabila Wan Amzar tampil sebagai antara pelajar terbaik negeri hasil gabungan prestasi akademik, kokurikulum dan kepimpinan. 

Kejayaan terbaharunya dalam STAM mengukuhkan kedudukan beliau sebagai ikon pelajar negeri ini.

AMRZ0797.jpg 694.52 KB
Anugerah sama turut diberikan kepada Tuan Mohd Hafizuddin Mohd Madhan dari Kampung Gemuroh, Kuala Nerus. 

Beliau merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Islam Darul Iman Besut. 

Selain pencapaian akademik yang memberangsangkan, Hafizuddin turut menyerlah dalam sukan badminton apabila menjuarai Kejohanan Sukan MASMAT kali ke-51, menyertai pemilihan atlet KESSUMA Terengganu dan muncul naib johan MASMAT serta johan peringkat kebangsaan bagi Kejohanan KESSUMA 2023.

Seorang lagi penerima, Wan Muhammad Fakrullah Wan Baharuddin, pelajar SMA Maarif Besut, turut mencatat keputusan 10 Mumtaz dalam STAM. 

Beliau merupakan anak ketiga daripada enam beradik dan aktif dalam sukan, termasuk muncul johan Kejohanan Bola Tampar MSSD Besut. 

Kecemerlangan akademik dan kokurikulum tersebut melayakkannya dipilih menerima pengiktirafan negeri.


Artikel Berkaitan