• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Wanita Bekerja Sendiri Diseru Rebut Dana RM10 Juta

KUALA TERENGGANU, 5 April – Golongan wanita kategori orang bekerja sendiri (OBS) daripada pelbagai sektor diseru agar merebut faedah di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Prihatin Wanita (SPW).

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, dengan skim itu, bermula 1 April kerajaan akan membayar 70 peratus daripada pelan caruman berjumlah RM232.80, iaitu sebanyak RM163.

“Sementara para usahawan serta wanita bekerja sendiri hanya perlu membayar RM69.80 iaitu 30 peratus daripada caruman setahun Pelan 2 skim tersebut.

“Ini peluang baik untuk wanita OBS kerana dengan hanya peratusan itu akan mendapat faedah perlindungan setahun

“Contohnya seperti usahawan wanita meniaga atas talian, sekiranya berlaku kemalangan atau tidak mampu bekerja dalam tempoh sakit mereka berhak mendapat faedah, sama seperti kematian boleh mendapat pencen dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, Petang kelmarin.

Tambahnya, permohonan untuk program SPW tersebut boleh dibuat mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.

Mengulas tentang Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso, Farihah memaklumkan, pihaknya menerima pendaftaran 109 OBS di karnival tersebut dan masih mengalukan mereka yang belum mendaftar.

“Sehingga Mac 2021, kira-kira 4,400 OBS telah mendaftar dan kita masih mewar-warkan usaha ini supaya mereka ini mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja,” jelasnya.

Untuk rekod, pihaknya menganggarkan terdapat kira-kira 25,000 individu yang bekerja sendiri di negeri itu.

Untuk maklumat lebih lanjut boleh layari laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my/ atau ke kaunter fizikal di Wisma Perkeso, Kuala Terengganu.