• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Wanita UMNO Hulu Terengganu Perlu Bekerja Tanpa Mengira Calon



Pergerakan Wanita UMNO Hulu Terengganu diingatkan supaya terus komited bekerja tanpa mengira calon bagi menentukan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Seri Jailani Johari berkata, golongan  wanita bukan hanya sebagai penyumbang mutlak kepada perjuangan parti, akan tetapi juga merupakan penentu kemenangan dalam setiap pilihan raya.

"Saya ingin menarik perhatian mengenai kempen atau lobi-melobi menjadi calon yang nampaknya semakin hebat dan sengit dan berharap agar trend ini tidak akan mencetuskan pelbagai masalah dalam parti.

"Kita merasa agak terkilan kerana terdapat individu tertentu yang sanggup mempergunakan nama pemimpin tertinggi parti untuk menaikkan nama masing-masing sebagai bakal calon di kawasan-kawasan tertentu.

" UMNO mempunyai sistem pemilihan calon dan ini dibuat bukan secara 'tangkap muat' tetapi menerusi penilaian yang teliti.Biarlah pucuk pimpinan menentukannya...apabila calon telah dipilih kita mesti akur dan menyokongnya kerana itulah semangat kesatuan dan perpaduan yang kita harapkan,"katanya ketika merasmikan Forum Perdana  Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Terengganu, Datuk Fatimah Hamat.

Jailani berkata semua ahli perlu sedar jawatan bukan segala-galanya kerana semua ahli mempunyai peranan sebagai satu komponen dalam sebuah gabungan.

 "Jangan menjadi pengkhianat dalam parti, kerana tindakan yang demikian itu, boleh memudaratkan kestabilan parti dan seterusnya boleh menggagalkan hasrat untuk memajukan negara kita.

"Persekitaran yang mencabar ini dan masa yang teramat suntuk menuntut kita untuk bergerak sepanjang waktu, tanpa noktah, tanpa rehat kerana survival kita bergantung kepada keputusan PRU-14 nanti,"katanya.

Tambah Jailani lagi,UMNO tidak boleh lagi diperkasakan berdasarkan kepada jeritan perjuangan yang lantang, sebaliknya harus bekerja keras kerana tuntutan rakyat dan negara semakin tinggi.


Tag: