lightning-solid
Berita :
Warga Emas Hilang  Ditemukan Meninggal Dunia
Warga Emas Hilang Ditemukan Meninggal Dunia
Ridhwan Balian
3 jam yang lepas
109

KEMAMAN, 23 Julai – Misteri kehilangan seorang warga emas dari Kampung Baru Felda Neram 1, Kemaman akhirnya terjawab apabila mangsa, Abdullah Besar, 70, ditemukan meninggal dunia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Penguasa Bomba Mohd Hafizul Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kehilangan mangsa pada pukul 6.40 petang, 20 Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan keluar bersendirian dari rumah adiknya pada kira-kira pukul 7 pagi, Ahad lalu, namun tidak pulang sehingga laporan kehilangannya dibuat.

Operasi SAR memberi tumpuan pencarian di sekitar kawasan Jabor Perasing serta ladang ternakan ayam dalam radius sehingga 10 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang kali terakhir.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, beliau mengikuti rapat perkembangan kes kehilangan tersebut sejak hari pertama mangsa dilaporkan hilang dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak terlibat sepanjang operasi dijalankan.

Menurutnya, kehilangan warga emas itu telah mengundang kebimbangan penduduk setempat dan pelbagai pihak turut berganding bahu membantu usaha pencarian bagi memastikan mangsa dapat ditemukan.

“Sejak hari pertama laporan kehilangan diterima, saya sentiasa mengikuti perkembangan operasi yang dijalankan serta berhubung dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Mohd Hafiz turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat, pasukan keselamatan, sukarelawan serta penduduk kampung yang bertungkus-lumus membantu operasi pencarian sejak beberapa hari lalu.

Terdahulu, operasi SAR hari ini melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Unit Anjing Pengesan (K9), pasukan bomba sukarela serta penduduk kampung dengan pencarian tertumpu dalam radius 10 kilometer termasuk kawasan sehingga Perasing.

Abdullah sebelum ini dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar untuk bersarapan di sebuah kedai makan yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya di Kampung Baru Felda Neram 1 pada pagi Ahad lalu.


Tag :

Artikel Berkaitan