• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Warga Tua Kritikal Akibat Covid-19 Bertambah

KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Semakin ramai warga tua di Terengganu berada di tahap kritikal ekoran penularan terbaru pandemik Covid-19.

Pakar Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Mohamad Faizal Zulkhifli berkata, terdapat peningkatan ketara pesakit Covid-19 yang berada dalam keadaan kritikal sejak akhir-akhir ini.

"Dahulu, pesakit kami datang ke bahagian kecemasan sama ada kritikal, separa kritikal dan tidak kritikal. Namun, selepas peningkatan kes Covid-19 kita dapati semakin ramai yang datang sebab sesak nafas, cuma sekarang kita sukar untuk membezakan mereka disebabkan Covid-19 atau tidak. 

"Banyak pesakit berumur 60 tahun ke atas sebab mereka banyak penyakit lain yang berisiko mendapat kesan Covid-19 lebih teruk dan kebanyakannya berpunca disebabkan kunjungan ke kawasan zon merah," katanya ketika ditemui di HSNZ, hari ini.

Jelasnya, peningkatan lebih ketara berlaku sebelum hari raya baru-baru ini, di mana banyak situasi ahli keluarga yang balik ke Terengganu tanpa menyedari mereka dijangkiti Covid-19 dan menjangkiti orang tua mereka.

"Banyak berlaku, anak-anak pulang berjumpa ibu bapa mereka akhirnya menyebabkan ibu bapa yang mengalami simptom teruk akibat jangkitan itu, sedangkan mereka pula hanya mengalami simptom ringan.

"Selalu yang kritikal, biasanya mereka akan dikomakan dan sambung bantuan pernafasan sebab mereka tidak boleh bernafas macam biasa, oksigen mereka hanya tinggal sekitar70-80 peratus," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan pengawalan kendiri yang optimum.

"Pertama, kita tahu vaksin membantu, bagi masyarakat di luar ketahuilah ia sangat berfungsi di mana staf kami yang sudah divaksin kadang-kadang terdedah dengan pesakit Covid-19, apabila di 'swab' alhamdulillah masih kekal negatif. Jadi, galakkan mak ayah dan ahli keluarga dapatkan vaksin.

"Kedua, kawalan kendiri. Kita kena ingat risiko yang kita bawa balik ke rumah, kadang-kadang disebabkan kita mak ayah yang terima kesannya. Ingatlah, supaya tiada penyesalan di hari kelak," katanya.