KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Penjawat Awam Negeri Terengganu diseru agar menguasai teknologi kecerdesan buatan (AI) supaya tidak ketinggalan dengan kakitangan dari negeri lain.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia berkata, dalam usaha meningkatkan kemahiran dalam tekonologi terbabit adalah diharapkan agar ketua setiap jabatan mengambil inisiatif bagi mendedahkan ilmu berkenaan seiring dengan perkembangan semasa melalui dengan penganjuran kursus.
"Kita sekarang ini berada di alaf digital, saya berharap agar semua ketua jabatan mengambil inisiatif untuk memastikan setiap kakitangan didedahkan dengan ilmu AI agar tidak ketinggalan dengan negeri-negeri lain.
"Kerana saya tengok negeri lain dah maju dalam penggunaan teknologi tersebut sebagaimana seperti Sabah, Sarawak, Johor yang telah jauh ke hadapan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang, Di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

"Kita telah pun berada di akhir tahun, dan pada kesempatan ini saya mengucapkan selamat tahun baru kepada semua dan saya berharap dengan tahun baru kita akan berazam untuk terus maju, dan meningkatkan lagi profesionalisem serta prestasi sebagai penjawat awam," katanya.
Dalam meningkatan mutu perkhidmatan, tegasnya semua penjawat awam perlu memperkukuhkan kerja berpasukan dalam menghadapi cabaran semasa.
"Penjawat awam perlu bersifat produktif dan berdaya saing seiring dengan perkembangan digital dan kehendak semasa.
"Amalan kerja berintegiti, tadbir urus yang baik serta pematuhan kepada peraturan dan undang-undang hendaklah terus dijadikan pegangan utama," katanya.
Sementara itu beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima Anugerah Pekerja Cemerlang.
