• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Warisan Pahlawan Resort, Inspirasi Istana Zaman Silam



Rumah kayu yang lazimnya dikaitkan sebagai simbol kemiskinan dan ketinggalan zaman, dijelmakan sebagai satu simbol kemewahan dan kemegahan.

Jika dari sisi lainnya, suatu yang mungkin berakhir sebagai bahan terbuang dan boleh lenyap begitu sahaja, diubah menjadi begitu masyhur di Warisan Pahlawan Resort di Kampung Pauh, kira-kira lima kilometer dari Bandar Kuala Berang.

Resort yang berinspirasikan istana Terengganu pada era Sultan Mansor Shah ke-2 ini dilihat sebagai satu mahakarya cukup menarik terutama kepada peminat seni lama termasuk pelancongan ke negeri ini. 


Lapan buah rumah yang menghiasai resort ini diberi nama dengan nama tokoh-tokoh agama serta pahlawan Melayu, antaranya Tok Ku Paloh, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Ku Pulau Manis dan Tok Kenali.

Contohnya, Rumah Mat Kilau diberi nama kerana rumah yang berusia lebih 150 tahun itu pernah menjadi tempat persinggahan pahlawan tersebut sebelum dialihkan ke resort ini.

Walaupun berkonsepkan tradisional, kemudahan moden turut disediakan bagi keselesaan pengunjung yang menginap seperti penghawa dingin, dewan seminar dan dewan makan.


Kadar sewaan di Warisan Pahlawan Resort bermula daripada serendah RM40 hingga RM100 semalam untuk sebuah bilik.

Manakala bagi kadar sewaan rumah pula adalah dari RM250 hingga RM350 semalam bagi sebuah rumah yang mempunyai antara empat hingga enam bilik.

Warisan Pahlawan Resort menjadi lambang kecintaan pemiliknya, Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 56, terhadap warisan negeri dan kebanggaan itu dikongsi bersama orang lain agar warisan silam tidak pupus ditelan zaman.

Tag: