• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Wujudkan Capaian Telekomunikasi Di Tasik Kenyir Menjelang 2021

HULU TERENGGANU, 14 Julai - Lembaga KemajuanTerengganu Tengah (Ketengah) berhasrat supaya Tasik Kenyir mempunyai 70 peratus pembangunan telekomunikasi dan capaian internet  bagi kemudahan pelancong pada tahun 2021.

Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi merealisasikan hasrat ini.

Dato' Razali Idris.

"Hari ini hanya 10 peratus kawasan di Tasik Kenyir yang seluas 36,900 hektar memiliki capaian telekomunikasi dan internet dengan tiga menara telekomunikasi di Tasik Kenyir yang terletak di Pulau Camar, Tanjung Betung dan Pulau Bayas. Ianya belum mencukupi untuk menampung keperluan di kawasan pelancongan utama di sini.

“Sistem telekomunikasi di dalam Tasik Kenyir ini penting supaya sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini seperti sesat, pelancong hilang dan kemalangan bot, mereka yang di darat akan tahu dan segera menghantar bantuan. 

“Sekarang liputan telekomunikasi di tasik ini sangat lemah. Kalau pergi jauh dalam setengah jam dari Pengkalan Gawi tahap liputan semakin terhad. Kalau jauh ke dalam langsung tidak ada liputan,” katanya kepada pemberita di sidang media sewaktu lawatan kerja beliau bersama media di Tasik Kenyir, semalam.

Sehubungan dengan itu, KKMM dimohon untuk mempertimbangkan keperluan ini dalam usaha menambah baik serta meningkatkan kualiti liputan dan capaian internet di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu.

Tambahnya, walaupun agak sukar untuk operator telekomunikasi melabur ke dalam Tasik Kenyir ini disebabkan keluasan, namun kerajaan diminta melihat kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan ini.

Di samping itu juga, beliau turut mencadangkan satu pusat terminal komunikasi diwujudkan di Tasik Kenyir iaitu di Pejabat Ketengah untuk mengesan keberadaan bot-bot di seluruh kawasan tersebut.

"Sekiranya penyediaan liputan telekomunikasi di seluruh tasik ini sukar dan memerlukan kos yang sangat tinggi, jadi pusat terminal ini boleh diwujudkan bagi meminimakan kos.

“Setiap bot boleh memasang peranti 'wireless' yang boleh berhubung dengan pusat terminal itu supaya kita tahu di mana bot-bot berada dan apa terjadi terhadap bot-bot itu,” katanya.