• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

YDSM & Repsol Perkasa Ekonomi Keluarga Nelayan

Dato' Mohd Fadzli menandatangani plak perasmian diperhatikan wakil Repsol dan Perikanan.
MARANG, 23 Oktober - Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dengan tajaan Repsol Oil and Gas Malaysia Limited (Repsol) menyumbang sebanyak RM100,000 untuk pemerkasaan keluarga nelayan di daerah Marang.

Program pemerkasaan ekonomi yang dilaksanakan sejak setahun lalu itu bertujuan meningkatkan taraf hidup keluarga nelayan ke arah lebih baik.

Ahli Lembaga Pengarah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof berkata, program seumpama itu adalah yang pertama dilaksanakan pihak yayasan untuk golongan nelayan.

“Seramai 10 ahli Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA) iaitu isteri-isteri nelayan telah menyertai kursus pembuatan Surimi dan produk berasaskan ikan di Akademi Perikanan Malaysia (APM), Chendering.

“Mereka yang terdiri daripada golongan asnaf merupakan kumpulan pertama dipilih oleh persatuan nelayan tempatan yang akan dibangunkan sebagai usahawan,” katanya ketika merasmikan pelancaran Program Pemerkasaan Sosio Ekonomi Keluarga Nelayan di Kampung Gong Balai, hari ini.

Peserta program menunjukkan hasil usaha mereka kepada penganjur dan penaja.
Program itu mengetengahkan dua produk iaitu bebola ikan dan Krispi Ikan Selayang serta mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (Perikanan) dan APM.

Pengarah Perikanan, Zawawi Ali memaklumkan bahawa pemilihan kawasan Gong Balai sebagai lokasi kerana sumber bahan mentah iaitu ikan yang diperlukan lebih mudah diperolehi.

“Pembuatan bebola ikan memerlukan ikan dengan isi putih dan ia hanya boleh didapati pada waktu tertentu sahaja.  Kita berharap dengan pelaksanaan program ini, bekalan bahan mentah tidak akan putus berikutan nelayan tahu bagaimana untuk mendapatkannya.

“Selain itu, pasaran bebola ikan amat luas dan bekalan di Terengganu sahaja tidak mencukupi. Kami yakin dengan penjagaan mutu dan kebersihan, ia dapat dipasarkan secara meluas.

Dalam pada itu, Repsol terpanggil untuk menyumbang tajaan kepada rakyat Terengganu sebagai usaha pembangunan modal insan mereka.

Pengurus Perhubungan Pemegang Sahamnya, Ahmad Fakhrurrazi Arshad berkata, mereka telah menaja lebih 140 keluarga sebagai salah satu teras tanggungjawab korporat dan sosial syarikat.

“Disebabkan kami ada beroperasi di luar pantai Terengganu, kami terpanggil untuk menyumbang kembali kepada rakyat di sini.

“Bagi program ini, kami akan melakukan pemantauan selama setahun bersama pihak penganjur. Selepas itu, Repsol akan menilai perkembangan mereka dan membantu untuk menjadikannya lebih baik,” katanya.

Bantuan peralatan dan kursus banyak membantu peserta menghasilkan produk.



Tag: