• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

YPKT Peruntuk RM61 juta Biayai 17,800 Peserta PJD

Roslee bersama sebahagian peserta PJD pada Majlis Penyampaian Modal Program Jati Diri, di Dewan Utama YPKT, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Kassim

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) membiayai 17,800 peserta Program Jati Diri (PJD) dengan kadar pinjaman modal perniagaan  kira-kira RM61 juta sejak 1995.  

Daripada jumlah itu, hanya 48 peserta melibatkan pinjaman hampir RM100,000 dikesan gagal membayar balik atas pelbagai faktor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud, berkata pada masa kini seramai 4,225 peserta PJD aktif membuat pinjaman.

Katanya, kebanyakan peminjam menjalankan perniagaan jualan makanan, kedai runcit, jahitan, penternakan, salun kecantikan, kedai pengantin, jualan langsung dan pertanian.


“Mana-mana isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan layak membuat pinjaman sehingga RM20,000 atau bergantung kepada jenis peniagaan yang diusahakan .

“Syarat pinjaman cukup mudah iaitu mengutamakan  suri rumah dan ibu tunggal.  Golongan belia dan kaum lelaki dipertimbangkan jika bersesuaian,” katanya.

Menurutnya, syarat lain, peminjam  perlu menubuhkan kumpulan yang terdiri empat peserta yang akan berperanan sebagai penyokong, pemerhati dan penasihat.


“Kaedah ini (berkumpulan) berjaya mengurangkan risiko kegagalan projek dan juga pembayaran balik pinjaman,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Modal Program Jati Diri, di Dewan Utama YPKT, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Di majlis itu, seramai 139 peserta PJD menerima modal program PJD yang membabitkan pinjaman lebih RM1 juta.

Tag: