• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

YT Agih RM196,290 Kepada 27 Pelajar Luar Negara


Yayasan Terengganu (YT) mengagihkan sejumlah RM196,290 sebagai wang pendahuluan kepada 27 pelajar tajaannya untuk ke luar negara.

Daripada jumlah itu, 15 pelajar dijadualkan melanjutkan pelajaran di bidang perubatan Universitas Kristen Krida Wacana (UKRIDA), Jakarta, bulan ini.

Masing-masing menerima wang tunai RM6,750 bagi membiayai wang saku, penempatan dan pembelian buku-buku.

Pengarah YT, Mohamad Sulong berkata, manakala 12 pelajar lagi  akan melanjutkan pelajaran di tiga universiti di United Kingdom (UK) dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, farmasi dan akauntan.

``Tujuh orang di Universiti Of Nottingham, empat orang Universiti Of  Manchester dan seorang di Universiti Of Kent (UK). Setiap seorang menerima RM7,920 bagi membiayai penempatan dan pembelian pakaian panas.

``Manakala wang saku yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM7,000 seorang  akan dimasukkan dalam akaun masing-masing,’’ katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas masjlis Penyerahan Wang Pendahuluan Diri Pelajar Tajaan YT ke luar negara 2016 yang disampaikan Dato’ Mohd Zubir Embong di Duyong Marina & Resort , Pulau Duyong, Kuala Nerus, hari ini.

Setiap tahun YT terpaksa menambah perbelanjaan kira-kira RM10 juta menjadikan RM60 juta pada tahun ini untuk membiayai pelajar tajaannya yang sedang dan akan melanjutkan pelajaran di luar negara .

Katanya, perbelanjaan tambahan itu berikutan kejatuhan wang ringgit yang turut memberi kesan kepada YT, tetapi ianya tetap menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak Terengganu.

Dalam pada itu, YT sedang menaja seramai  636 pelajar di lapan negara termasuk Rusia, Jordan, Mesir, Indonesia, UK, Jerman, Amerika Syarikat, Maghribi dan Australia.

“Daripada jumlah itu, seramai 188 orang akan menamatkan pengajian masing-masing pada hujung September ini,” katanya.

Tag: