• 21 Apr 2024 | 12 Syawal 1445

Zakir Naik : Tiga Asas Perlu Dihormati - Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang.
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Tiga asas perlu dihormati semua pihak dalam isu membabitkan pendakwah bebas terkenal, Dr Zakir Naik yang dikatakan telah mencetuskan ketegangan di negara ini.

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, beliau mengikuti dengan cermat perkembangan isu Zakir yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu atas tujuan mengeruhkan suasana.

Jelasnya, isu tersebut harus ditangani segera dengan tiga perkara utama membabitkan ruang demokrasi seperti budaya debat dan dialog harus dihormati agar masalah tersebut berjaya menemui jalan keluar.

Semua pihak perlu bersedia untuk bersemuka dan berdialog secara ilmiah demi mencari ‘kebenaran dan kebersamaan’. Pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan kerajaan negeri wajar menyuburkan budaya ini.

“Kedua, perpaduan masyarakat majmuk adalah kerukunan hidup yang perlu dipelihara. Semua pihak bertanggungjawab untuk menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama dalam negara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan juga perlu dilakukan terhadap pemimpin politik dan pengamal media yang menjadi ‘makhluk perosak’ sehingga mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

“Ketiga, jaminan keselamatan yang perlu dijaga tanpa mengira agama dan bangsa, sebagaimana yang terkandung dalam ajaran Islam,” katanya.

Tegasnya, status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada Dr. Zakir Naik adalah hak asasi manusia yang diiktiraf dunia dan negara bertamadun.

“Hak keselamatan ini juga adalah jaminan Islam terhadap sesiapa yang terancam keselamatannya, walaupun terhadap bukan Islam.

“Kerajaan dan agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertegas dalam memberi jaminan keselamatan ini,” tambah beliau.



Tag: