• 26 Okt 2021 | 19 Rabiul Awal 1443

Zakir Naik : Tun M Buat Keputusan Bijak - Abdul Hadi


MARANG, 23 Ogos - Tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membenarkan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik terus berada di negara ini adalah keputusan yang bijak dan tepat.

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan yang dibuat itu menunjukkan Dr Mahathir menilai isu berkenaan berdasarkan hujah, dan bukannya berpandukan sentimen sesetengah pihak.

Jelasnya, dalam masa yang sama kerajaan perlu menyiasat siapa yang menimbulkan polemik politik berhubung isu terbabit termasuk pihak media.

“Isu ini isu akademik dan dakwah, maka perlu ditangani dengan secara akademik, serta demokrasi, kalau ikut demokrasi, dialog akademik itu perlu diadakan dan dialog yang bertujuan politik pula kita larang.

“Dr Zakir perlu dipertahankan kerana keilmuan dia, dan kita perlu hormat ilmunya dalam berdialog, bukan hantar balik sehingga menandakan kebodohan, kelemahan kita sendiri,” katanya ketika sidang media di rumahnya.

Beliau yang juga Presiden PAS turut menegasakan, pihaknya melihat keperluan untuk mengundang pendakwah bebas dari India itu mengadakan ceramah atas kepakaran dan sumbangan dalam dunia dakwah.

Semalam, Dr Mahathir berkata, Malaysia tetap kekal dengan pendirian untuk membenarkan Dr Zakir tinggal di sini walaupun desakan mahukan beliau dihantar pulang ke India cukup kuat.

Ini kerana, wujud ancaman bunuh terhadap penceramah itu selain beliau sudah diberikan taraf penduduk tetap negara ini.

 “Pada saat ini pendirian kita tidak berubah,” katanya pada sidang akhbar di Perbadanan Putrajaya.

Penceramah kontroversi itu kini disiasat polis berikutan kenyataannya semasa berucap di Kelantan baru-baru ini yang didakwa berbaur perkauman.

Walau bagaimanapun, Dr Zakir menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dan menyifatkan ucapan beliau telah diputarbelitkan pihak tertentu termasuk media.

Dr Zakir turut membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees dan bekas duta Malaysia ke Kanada, Dennis J Ignatius kerana didakwa membuat kenyataan fitnah mengaitkan dirinya.



Tag: