• 28 Okt 2021 | 21 Rabiul Awal 1443

Zoo Mini Tok Dir Terima Peruntukan RM10 Ribu

KUALA TERENGGANU, 7 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM10 ribu bagi pembangunan Zoo Mini Kampung Tok Dir yang kini mula dikunjungi orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu diambil untuk menggalakkan penduduk memajukan produk pelancongan komuniti (CBT) sekali gus menjadi sumber ekonomi penduduk sekitar.

"Saya bangga dengan usaha Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tok Dir dan orang kampung dalam merancakkan lagi tempat ini sejak diviralkan baru-baru ini.

“Walaupun tak sama seperti Zoo Negara atau Zoo Kemaman, namun keunikan suasana kampung sekeliling cukup untuk menarik perhatian pelawat bukan sahaja dari Terengganu, malah di seluruh negara.

“Ini adalah contoh baik dalam CBT, di mana komuniti sendiri membina tarikan tersebut, antaranya di kawasan saya di Alor Limbat seperti Pengkalan Warisan dan Dataran Banggol Chempedak,” ucapnya dalam Majlis Perasmian Zoo tersebut di Perkarangan Zoo Kampung Tok Dir, Bukit Payong baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Pengerusi JPKK Kampung Tok Dir, Muda Abdullah.

Tambah Ariffin, lokasi strategik zoo tersebut yang terletak di kawasan baruh sawah padi mampu menjadi produk viral seperti dikenali di serata Malaysia seperti Warung Roti Canai Pok Ripin di Padang Maras, Batu Rakit.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang hadir sama berkata, pihaknya menghulurkan sokongan dalam bentuk pembinaan jalan tar bagi memudahkan kemasukan pengunjung ke zoo tersebut.

“Hasil komuniti dalam mewujudkan tempat ini memberi kebaikan sebagai pusat rekreasi penduduk sekitar, mudah-mudahan dapat memberi kebaikan dan sumber pendapatan kepada warga Bukit Payong,” jelasnya.

Dalam pada itu, pemilik zoo berkenaan, Mohd Hilmie Muda, 30, berbesar hati menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan dia bertekad membangunkan lagi kawasan tanah milik ayahnya itu.

“Insya-Allah kita akan naik taraf dan beli binatang spesies lain seperti Rusa Bintik dan burung-burung yang ramai masih tidak kenali,” katanya.