• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

15 Negara 'Terbang' Di Terengganu Hari Ini

KUALA TERENGGANU, 1 Julai- Sebanyak 15 negara 'berkampung' selama dua hari di Terengganu dalam Pameran Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, bermula hari ini.

Pegawai Tugas-tugas Khas Persatuan Penggiat dan Pemain Wau Negeri Terengganu, Zulkifli Abd Rani memaklumkan, pameran singkat dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) diadakan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu dari jam 9.00 pagi sehingga 9.00 malam ini.

Menurutnya, sekitar 35 peserta dari Indonesia, Thailand, Macau, Hong Kong, China, Poland, Austria, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Ukraine dan Sweden.

"Tujuan diadakan pameran ini adalah untuk memeriahkan kembali tradisi wau dan layang-layang di Terengganu. Ikut rekod, kita (pelayang wau) main di luar berjaya jadi orang tertanya-tanya mengapa kita tidak buat di Terengganu sendiri?

"Jadi, peluang ini cuba kita ambil dengan menghubungi Majlis Pelayang Malaysia yang baru selesai pameran di Kelantan untuk program ini, dataran ini pula dilihat sebagai tapak yang sesuai dan menawarkan nilai pelancongan yang lebih baik.

"Seingat saya, pameran atau pertandingan sebesar ini sudah lebih 10 tahun tidak diadakan. Dengan langkah pertama ini, secara umumnya kita hendak membantu negeri menarik lebih ramai pelancong ke sini selain berhasrat mengadakan semula pertandingan hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, hari ini.

Tambah Zulkifli, malam ini pengunjung akan disajikan wau yang dihiasi kerlipan cahaya sebagai keunikan yang diketengahkan dalam pesta-pesta wau dan layang-layang.

Dalam pada itu, wakil Komunitas Pencinta Layang-layang Nusantara Talikama Lianawati Lea menyifatkan Terengganu memiliki potensi untuk pertandingan dan pameran layang-layang gergasi terutama di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

"Ini kali pertama saya ke Terengganu, sebelum ini saya sering 'menerbangkan' layang-layang di Kelantan, Sarawak dan Johor.

"Festival ini bagus kepada pelancongan setempat, sebagai contoh penganjuran festival layang-layang yang diadakan Jogjakarta tahun lalu berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung," katanya.

 

  

 

 

 


Tag: