• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 28 Jun- Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi penggal ke-14 dijangka dibubarkan secara rasmi, esok.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, pembubaran itu akan diumumkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri. 

"Tiada sidang media, kita akan keluarkan satu kenyataan sahaja selepas mendapat perkenan Tuanku, mungkin dalam tengah hari.

"Selepas ini, pentadbiran akan dipikul kerajaan 'caretaker' dan mana-mana mesyuarat yang tidak memerlukan keputusan dasar, mesyuarat pelaksanaan akan terus dilaksanakan sebagaimana di peringkat persekutuan," katanya dalam sidang media ringkas di luar perkarangan istana, hari ini.

Tambahnya, Pilihan Raya adalah proses demokrasi bukan sahaja kepada memilih kepimpinan sesebuah negeri atau negara tetapi juga peluang kepada rakyat untuk membuat pemilihan.

"Sebagai pemegang taruh yang paling besar, rakyat perlu bersikap adil dan mengambil maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang pertimbangan.

"Kini, kita serahkan kepada rakyat untuk membuat pertimbangan mereka," katanya.

Mempunyai 32 kerusi DUN, Pilihan Raya Umum ke-14 lalu menyaksikan PAS menguasai 22 kerusi, sekali gus merampas tampuk pentadbiran, manakala selebihnya dimiliki Barisan Nasional (BN).

Terengganu antara enam negeri yang akan mangadakan PRN bersama Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sambilan, Kedah dan Kelantan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: