Jalur Gemilang
Berita :
COE 2027 Diperkemas, Pacu Promosi Pelancongan Terengganu
COE 2027 Diperkemas, Pacu Promosi Pelancongan Terengganu
Mastura Jamal Din
4 jam yang lepas
26

KUALA TERENGGANU, 24 November – Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) 2027 diperkemas secara menyeluruh bagi memastikan promosi serta pemasaran pelancongan Terengganu lebih tersusun dan berkesan menjelang Kempen Visit Truly Terengganu 2027.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Mohd Ariffin Tengku A. Rahman berkata, penambahbaikan itu mengambil kira pengalaman pelaksanaan COE 2026 selain memastikan setiap acara yang dirancang mampu memberikan impak lebih besar kepada industri pelancongan negeri.

Menurutnya, COE bukan sekadar kalendar yang menyenaraikan acara pelancongan, sebaliknya menjadi rujukan rasmi kepada semua pihak dalam merancang promosi, pemasaran dan pakej pelancongan sepanjang tahun.

"Pelancong domestik dan antarabangsa lazimnya merancang percutian lebih awal berdasarkan tarikan acara, festival serta pengalaman autentik yang ditawarkan sesebuah destinasi.

"Justeru, kalendar ini memudahkan agensi pelancongan, pengusaha penginapan dan pengendali pengangkutan merangka pakej pelancongan serta kempen publisiti dengan lebih sistematik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) Kempen Visit Truly Terengganu 2027 di Hotel Permai, di sini hari ini.

Mengulas pencapaian COE 2026, beliau berkata sebanyak 113 acara direkodkan meliputi 15 Acara Utama (Signature Event) dan 98 Acara Sampingan (Side Event).

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 14 Acara Utama berjaya dilaksanakan manakala satu lagi terpaksa dibatalkan atas faktor luar jangka.

"Bagi Acara Sampingan pula, sebanyak 70 acara telah selesai dilaksanakan, enam masih dalam proses pelaksanaan manakala 22 tidak dapat diteruskan berikutan kekangan kewangan penganjur.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 84 acara berjaya direalisasikan setakat ini," katanya.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan membuktikan komitmen dan kerjasama erat semua pihak termasuk penganjur, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemain industri serta masyarakat setempat.

Bagaimanapun, katanya, pengalaman pelaksanaan COE 2026 perlu dijadikan asas untuk melakukan penambahbaikan agar kelemahan dapat diperbaiki, manakala kejayaan sedia ada terus diperkasakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu memberi tumpuan kepada penyelarasan jadual acara, logistik, promosi digital dan liputan media secara bersepadu di peringkat daerah serta negeri.

Katanya, persediaan lebih awal membolehkan penganjur membuat perancangan rapi sekali gus memastikan kelancaran setiap program yang disenaraikan dalam COE 2027.

Beliau turut menegaskan kejayaan Visit Truly Terengganu 2027 bukan hanya bergantung kepada jumlah acara yang dianjurkan, sebaliknya memerlukan sokongan seluruh ekosistem pelancongan negeri.

"Setiap pengunjung bukan sahaja perlu hadir menyaksikan acara yang dianjurkan, malah mesti menikmati layanan hospitaliti yang mesra, persekitaran bersih serta tahap keselamatan yang terjamin sepanjang berada di Terengganu," katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan