Jalur Gemilang
Berita :
Jabatan Amal Dungun Siap Siaga Hadapi Risiko Banjir
Jabatan Amal Dungun Siap Siaga Hadapi Risiko Banjir
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
4 jam yang lepas
96

DUNGUN, 24 November– Jabatan Amal Kawasan Dungun mengambil langkah siap siaga bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir susulan ramalan awal yang dikeluarkan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) bagi tempoh 24 hingga 27 November 2026.

Komandan Jabatan Amal Kawasan Dungun, Tarmizi Hilmi Mohd Zuber, berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk digerakkan bagi memberikan bantuan kepada masyarakat sekiranya berlaku kejadian banjir atau kecemasan sepanjang musim tengkujuh.

Menurutnya, berdasarkan maklumat PRABN, beberapa kawasan di Daerah Dungun dikenal pasti berisiko susulan keadaan lembangan sungai, khususnya melibatkan Lembangan Sungai Dungun, Lembangan Sungai Paka dan Lembangan Sungai Sura.

“Antara sungai yang dikenal pasti termasuk Sungai Dungun, Sungai Jengal, Sungai Kelemin dan Sungai Loh di Lembangan Sungai Dungun, Sungai Paka serta Sungai Sura.

“Jabatan Amal Dungun akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa mengikut keperluan serta keadaan di lapangan,” katanya.

Beliau berkata, kesiapsiagaan anggota turut meliputi bantuan pemindahan mangsa, bantuan kecemasan, pengurusan pusat pemindahan serta kerja-kerja bantuan pascabanjir sekiranya diperlukan.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat khususnya penduduk yang tinggal di kawasan rendah, kawasan yang sering menjadi lokasi tumpuan banjir dan berhampiran lembangan sungai supaya sentiasa berwaspada serta mengikuti perkembangan dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan atau khidmat Jabatan Amal Dungun berkaitan situasi banjir boleh menghubungi pihak Jabatan Amal Kawasan Dungun untuk tindakan dan bantuan selanjutnya.

“Kita sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan