KUALA TERENGGANU, 24 November - Aras Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu melepasi paras amaran susulan hujan yang masih berterusan di seluruh Terengganu sejak awal pagi hari ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu memaklumkan bacaan sungai berkenaan mencapai 20.26 meter, iaitu 0.26 meter melebihi paras amaran, dengan trend air terus meningkat setakat jam 8 pagi.
Sementara itu, Sungai Nerus di Kampung Bukit turut merekodkan bacaan 11.04 meter, iaitu 0.54 meter melebihi paras waspada, dengan trend menaik.
Keadaan itu berlaku ketika hujan masih turun di seluruh negeri, dengan taburan hujan lebih tertumpu di daerah Setiu, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Dua stesen iaitu Kampung Langkap, Setiu dan JPS Marang turut merekodkan hujan pada tahap sederhana lebat dalam tempoh sejam.
JPS memaklumkan aras air sungai berpotensi terus meningkat sekiranya hujan berterusan, terutama di kawasan lembangan sungai yang menerima taburan hujan tinggi.
JPS Terengganu kini meneruskan pemantauan rapi terhadap taburan hujan dan perubahan aras air sungai, khususnya di kawasan yang berisiko bagi memastikan sebarang perubahan dapat dikenal pasti lebih awal.