KUALA TERENGGANU, 23 November - Penduduk di tujuh daerah di Terengganu diminta meningkatkan kewaspadaan dan membuat persediaan awal susulan risiko banjir yang dijangka berlaku mulai esok hingga Khamis berikutan hujan berterusan.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, analisis data hidrologi dan simulasi model ramalan banjir menunjukkan beberapa lembangan sungai di negeri ini berisiko mengalami kenaikan paras air.
Tujuh daerah yang dikenal pasti berpotensi terjejas ialah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang, Dungun dan Kemaman.
Kawasan berisiko di Kuala Terengganu membabitkan Lembangan Sungai Terengganu dan Sungai Ibai, manakala Besut melibatkan Lembangan Sungai Besut dan Keluang.
Di Setiu pula, kawasan berisiko melibatkan Lembangan Sungai Setiu dan Sungai Terengganu, sementara Kuala Nerus membabitkan Lembangan Sungai Terengganu termasuk Sungai Nerus.
Marang pula melibatkan Lembangan Sungai Marang, Ibai dan Merchang, manakala Dungun membabitkan Lembangan Sungai Dungun, Paka dan Sura.
Bagi Kemaman, kawasan yang perlu diberi perhatian ialah Lembangan Sungai Kemaman dan Kemasik.
JPS turut mengingatkan bahawa kejadian banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang diramalkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa kawasan di negeri itu sudah mula dinaiki air sejak semalam susulan hujan lebat berterusan.
Beliau mengingatkan penduduk, khususnya mereka yang berada di kawasan berisiko banjir, supaya tidak mengambil mudah keadaan semasa dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Patuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya diarahkan.
“Utamakan keselamatan diri dan keluarga serta elakkan mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa,” tambah beliau.