• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Jika Harga Sewa Bazar Rendah, Makanan Jadi Murah

KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menasihati pengusaha-pengusaha bazar Ramadan supaya lebih bertimbang rasa dalam mengenakan harga kepada peniaga yang menyewa tapak perniagaan di bazar sepanjang bulan mulia itu.

Ketika ditanya tentang isu berkenaan, beliau menjelaskan ia merupakan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan di lokasi terbabit.

"Lihat juga kemampuan peniaga-peniaga kita, biarlah 30 hari atau 28 hari, 25 hari yang mereka berniaga dapat pulangan. Jangan fikir janji khemah dan tapak terjual, peniaga dapat pulangan itu bukan urusan kita.

"Bagi kerajaan, agak sukar membendung perkara itu sebab ia di luar kawalan kita, kita hanya boleh mencadangkan supaya mereka ingat, jika gerai rendah harga, makanan pun jadi tidak berapa mahal. Itu rantaian yang ada.

"Kita cuba buat penyelarasan dan bangkitkan dari masa ke masa supaya ada ruang di peringkat persatuan sebab kadang-kadang bagi PBT, ini masa mereka cari duit cuma apabila bertembung dengan persatuan yang mengutamakan kebajikan ahli, ada antara mereka (peniaga) tidak mampu bersaing atau memenuhi harga semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadhan (SPBAR) bernilai RM250,000 bagi membantu usahawan-usahawan Terengganu memperkukuh modal untuk berniaga di bazar Ramadan, di pejabat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), hari ini.

Tambah Nurkhuzaini, terdapat ramai juga peniaga di bazar Ramadan tidak berdaftar dengan persatuan peniaga yang membolehkan mereka memohon bantuan SPBAR.

"Di situ, kita perlu ada keharmonian di peringkat PBT, kalau ada berlaku mungkin boleh dilaporkan maklumat dari peringkat awal supaya dapat diharmonikan.

"Apabila harga benda ini (tapak dan khemah) terlalu tinggi, kita mencadangkan kepada pengusaha bazar-bazar Ramadan supaya jangan pentingkan keuntungan semata-mata," nasihatnya.

Terdahulu, kerajaan negeri melalui YPU menyampaikan SPBAR kepada Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT), Tuan Chik Tuan Muda

Skim pembiayaan segera itu bakal diagihkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) kepada 124 penjaja dan peniaga kecil yang membuka perniagaan di bazar Ramadan seluruh negeri berkenaan.

 

 


Tag: