• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Parti Baharu : 'Terpulang Kepada Tun' - Abdul Hadi

MARANG, 7 Ogos - Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, semua pihak bebas untuk menubuhkan sebarang parti politik selagi tidak melanggar undang-undang.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, ia terpulang kepada mana-mana kumpulan atau individu termasuk bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu menubuh parti baharu.

“Itu terpulang kepada dia, Malaysia negara demokrasi dan sesiapa boleh menubuhkan parti. Kita tidak boleh halang,” katanya diminta mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menubuhkan sebuah parti baharu dinamakan Parti Bersatu Rakyat Malaysia pada petang ini.

Bercakap mengenai pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Presiden PAS itu berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Sabah dalam masa terdekat bagi berbincang beberapa perkara.

“Saya akan berjumpa pemimpin Sabah mungkin dalam masa terdekat sama ada di Kuala Lumpur atau di sini (Rusila).

“Tentang kerusi kita kena lihat laporan daripada Sabah dan kita pernah bertanding di samping ada cawangan dan calon,” jelasnya.

Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas, Pas bertanding di 26 kerusi dengan lapan kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN di samping julung kali meletakkan calon bukan Islam.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS mempunyai kekuatan di bahagian utara dan tengah Sabah, bahkan pernah bertanding di lebih 20 kerusi di negeri itu dalam pilihan terdahulu.

“Kekuatan kita ada di utara dan tengah misalnya di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu kita pernah bertanding,” tambah beliau.


 


Tag: