• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

11A SPM Kenangan Manis Buat Jasmine Sopiya

Jasmine Sopiya bersama ibu dan bapa.
Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Mengulang kaji pelajaran adalah rahsia Jasmine Sopiya Mohd Jamsari Azman, 18, memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM 2018 yang diumumkan semalam.

Katanya, ulangkaji dan latihan berterusan pada setiap masa ternyata memberikan kenangan yang cukup manis buatnya apabila mendapat 11A.

“Selalu membuat latihan membantu saya untuk lebih memahami apa yang dipelajari.

“Apabila buat ulangkaji selalu, saya lebih yakin dan mampu untuk menjawab soalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima slip keputusan daripada Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Saidina Abu Bakar, SHAMS, di sini semalam.

Jasmine Sopiya yang mengikuti aliran sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik (SHAMS) turut menghargai segala jasa dan sokongan yang telah diberikan oleh semua pihak.

Jasmine Sopiya ketika ditemubual.
Jelasnya, sokongan yang diterima menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus berusaha demi mencapai cita-cita.

“Terima kasih kepada ibu bapa dan rakan-rakan saya yang mendorong dan membantu saya walaupun dalam keadaan mereka sibuk.

“Tidak lupa kepada guru-guru yang mengadakan kelas-kelas untuk pelajar-pelajar,” ujarnya.

Anak jati Kampung Aur Chendering itu merupakan anak sulung kepada seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS).



Tag: