Jalur Gemilang
Berita :
"Negeri Lain Kena Bayar RM200, Kat Terengganu Percuma"
"Negeri Lain Kena Bayar RM200, Kat Terengganu Percuma"
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
89

KUALA TERENGGANU, 24 September - Bapa kepada Aryan Mikhail, Wan Mohd Khaidzir Wan Mohd memuji kemudahan fasiliti trek di Litar Permotoran Gong Badak yang boleh digunakan tanpa dikenakan caj.

Menurut Mohd Khaidzir, kemudahan itu memberi kelebihan kepada pelumba muda Terengganu untuk menjalani latihan secara lebih konsisten tanpa perlu menanggung kos sewaan trek.

"Kalau kita buat latihan di litar permotoran Gong Badak, kita boleh guna akses trek itu ikut masa mana kita nak guna kecuali kalau ada program.

"Kalau negeri luar, mereka kena sewa trek RM200 untuk berlatih sehari. Jadi kita, yuran penyertaan dah ditaja, tapi apa orang tak nampak ialah tempat latihan kita. 

"Seringgit pun tak ada caj," katanya ketika ditemui selepas sesi pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Batu Buruk, semalam. 

Katanya lagi, selain penggunaan trek tanpa caj, Kerajaan Negeri turut menyediakan kemudahan 'paddock' untuk pelumba menempatkan motosikal ketika menjalani latihan.

"Kita pergi, motor kita dah diparkir disitu, pengankutan pun tak ada masalah sebab kita tak perlu van.

"Kita boleh pergi selepas balik sekolah, sembahyang, salin baju, sarung helmet semua disitu. Kita tinggal disitu belaka. 

"Fasiliti itu memang Kerajaan Negeri bagi kita pakai, cukup (lengkap)," ulasnya.

Di samping itu, tambahnya, Kerajaan Negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim turut menyumbang dari segi kewangan, khususnya bagi yuran penyertaan pertandingan.

Mohd Khaidzir berkata sokongan berterusan berkenaan diharap dapat membantu Mikhail dan pelumba cilik lain mengembangkan bakat serta melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Dalam masa sama, Dr. Muhammad Khalil berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi galakan kepada anak-anak Terengganu untuk berjaya dalam bidang sukan, termasuk sukan permotoran.

"Kita sangat memberikan sokongan di peringkat Kerajaan Negeri khususnya di bawah Yang Berhormat Hishamuddin Abdul Karim, memang kita sangat memberi galakan kepada anak-anak Terengganu kita untuk berjaya dalam apa sahaja bidang sukan, khususnya dalam sukan permotoran yang menjadi (antara) fokus utama kepada negeri kita," katanya.

Aryan Mikhail, 12, telah mula menunggang Moto Mini seawal usia lima tahun sebelum menyertai pertandingan secara kompetitif pada usia lapan tahun.

Dalam dua kejohanan terbaharunya, Mikhail menamatkan saingan kategori 160cc di tempat ketiga pada Ohvale Guangzhou Supercup 2026 pada Ogos lalu dan Kejuaraan MotoMini Malaysia 2026 pada 22 September.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan