KUALA NERUS, 13 Oktober – Sebanyak 1.2 tan buah duku habis diagihkan kepada pengguna jalan raya dalam tempoh hanya 30 minit menerusi inisiatif berkongsi rezeki oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim.
Agihan yang berlangsung di hadapan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila kesemua buah duku habis diberikan kepada pengguna jalan raya dalam tempoh singkat.

“Setiap bungkusan mengandungi kira-kira dua kilogram buah duku bagi memudahkan proses agihan.
“Inisiatif itu dilaksanakan sebagai usaha membantu pekebun tempatan yang berdepan lambakan buah duku berikutan hasil yang banyak pada musim ini," katanya.

Menurut beliau, inisiatif seumpama itu akan cuba diteruskan pada masa akan datang sekiranya terdapat bekalan buah duku yang mencukupi.
"Usaha sebegini diharap dapat membantu pekebun memasarkan hasil tanaman mereka, selain menyemarakkan budaya saling membantu dan berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat setempat," ujarnya.