Jalur Gemilang
Berita :
KUSKOP Digesa Wujudkan Skim Pembiayaan Anjal Musim Tengkujuh
KUSKOP Digesa Wujudkan Skim Pembiayaan Anjal Musim Tengkujuh
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
1 hari yang lepas
103

KUALA LUMPUR, 26 November – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) digesa supaya merangka ekosistem pembiayaan yang lebih anjal dan peka terhadap realiti cuaca di Pantai Timur bagi melindungi usahawan mikro, koperasi pelancongan serta komuniti tani daripada terbeban akibat musim tengkujuh.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, peminjam TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di kawasan yang diisytiharkan banjir wajar diberikan moratorium bayaran balik secara automatik selama tiga hingga enam bulan tanpa permohonan individu yang rumit.

Menurutnya, banjir besar saban tahun sering menenggelamkan premis perniagaan di Bandar Jertih dan Kuala Besut sehingga merosakkan stok barangan serta memusnahkan peralatan penjaja dan usahawan mikro.

"Apabila premis mereka musnah akibat banjir, mereka bukan sahaja hilang punca pendapatan secara serta-merta, malah berdepan tekanan untuk memulakan semula perniagaan dari kosong.

"Berapakah jumlah siling pembiayaan tanpa faedah atau geran pemulihan segera yang disediakan di bawah bajet tahun ini untuk membolehkan usahawan mikro membaiki premis dan menggantikan peralatan rosak akibat banjir supaya mereka tidak terjerat dengan pinjaman tidak berlesen (ah long)?" soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KUSKOP di Dewan Rakyat, petang tadi.

Pengusaha bot pelancong dan koperasi komuniti di Kuala Besut terpaksa menghentikan operasi sepenuhnya selama tiga hingga empat bulan setiap kali tiba musim tengkujuh.

Mengulas lanjut mengenai sektor pelancongan di Kuala Besut yang menjadi pintu masuk utama ke Pulau Perhentian, Che Mohamad Zulkifly berkata pengusaha bot pelancong, koperasi komuniti serta pengusaha inap desa beroperasi dalam kitaran bermusim.

"Apabila tiba musim tengkujuh antara bulan November hingga Februari, operasi pelancongan terpaksa ditutup sepenuhnya. Dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini pendapatan mereka terhenti, tetapi komitmen bayaran balik pinjaman, kos penyelenggaraan dan pematuhan piawaian keselamatan maritim tetap berjalan," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memohon kementerian memperincikan agihan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) secara bersasar kepada koperasi pelancongan di Besut untuk menaik taraf fasiliti serta enjin bot, selain memperkenalkan mekanisme penjadualan semula bayaran balik pinjaman secara bermusim.

Petani dan penternak kecil di Besut berdepan tekanan kenaikan kos input pertanian serta penguasaan orang tengah. 

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan nasib petani dan penternak kecil di kawasan jelapang padi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (KETARA), Hulu Besut dan Jertih yang terus terhimpit dengan kenaikan harga baja, racun dan makanan ternakan selain penguasaan orang tengah.

"Walaupun peruntukan pembangunan koperasi dalam belanjawan ini agak besar iaitu RM118 juta, kita masih melihat kebanyakan koperasi di peringkat daerah lebih tertumpu kepada aktiviti kredit dan kepenggunaan biasa, sedangkan potensi sebenar di Besut ialah koperasi berasaskan pertanian dan agromakanan," ujarnya.

Justeru, beliau meminta KUSKOP menyatakan pecahan peruntukan khusus bagi membangunkan koperasi pertanian sebagai pusat pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran hasil tani (Agrohub) di Besut, di samping menyelaras bajet bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) agar koperasi peladang mendapat akses terus kepada geran automasi SME Corp tanpa pertindihan birokrasi.

"Rakyat di Besut sebenarnya, sama ada pemandu bot di Kuala Besut, pesawah di Jertih mahupun peniaga kecil di Hulu Besut, tidak meminta bantuan yang melampau. Mereka hanya mahukan ekosistem pembiayaan yang adil, anjal mengikut realiti cuaca setempat dan bebas daripada kerenah birokrasi," tambahnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan