Jalur Gemilang
Berita :
Razali Mahu PMX Bukan Sekadar Beri Amaran, Perlu Tindakan Tegas
Razali Mahu PMX Bukan Sekadar Beri Amaran, Perlu Tindakan Tegas
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
53

KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan Persekutuan diminta mengambil tindakan lebih tegas terhadap Ahli Parlimen DAP dari Kota Melaka yang didakwa mempertikaikan pelaksanaan peraturan berkaitan aktiviti perniagaan dan hiburan pada malam Jumaat di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, beliau menghargai ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan supaya isu berkenaan disiasat.

Bagaimanapun, beliau berharap tindakan tidak terhenti setakat siasatan atau amaran keras, sebaliknya perlu disusuli tindakan sewajarnya.

"Terima kasih kepada PMX kerana memberikan cadangan yang agak tegas. Cuma bukan setakat siasat, saya mahu beliau tambah sedikit lagi iaitu bertindak.

"Amaran keras itu baik, tetapi yang paling penting ialah siasat dan ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (CoE) sempena Tahun Melawat Terengganu 2027 di Hotel Permai, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan peraturan berkenaan bukan perkara baharu, malah sudah menjadi amalan di Terengganu sejak sekian lama dan tidak pernah mencetuskan krisis antara masyarakat Islam dengan bukan Islam di negeri ini.

Katanya, peraturan itu merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan negeri dalam menghormati tuntutan agama Islam, khususnya menghentikan aktiviti hiburan pada malam Jumaat serta memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Beliau berkata, dakwaan kononnya pelaksanaan peraturan itu menjejaskan pihak tertentu juga perlu dinilai berdasarkan realiti dan pengalaman pelaksanaannya selama ini.

"Perkara ini sudah menjadi rutin kita sejak bertahun-tahun. Tidak timbul isu menjejaskan mana-mana pihak kerana masyarakat sudah memahami dan menerima amalan tersebut.

"Kalau berniaga pada hari Jumaat, aktiviti perniagaan perlu dihentikan ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat. Begitu juga aktiviti hiburan pada malam Jumaat," katanya.

Razali turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak mencerminkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di Terengganu yang selama ini hidup dalam keadaan harmoni.

Tambah beliau, bantahan yang dibangkitkan itu datang daripada Ahli Parlimen DAP dari Melaka dan bukannya mewakili masyarakat atau penduduk Terengganu.

"Terdapat lebih kurang 1.2 juta penduduk di Terengganu, hanya sekitar dua peratus terdiri daripada masyarakat bukan Islam merangkumi kaum Cina, India dan lain-lain. 

"Tiada sebarang protes berlaku dalam kalangan rakyat negeri ini, sebaliknya yang datang membantah adalah wakil rakyat dari Melaka," katanya.

Terdahulu, Poay Tiong yang  juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, membangkitkan kebimbangan mengenai arahan penutupan premis antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap hari Jumaat.

Beliau mendakwa pelaksanaan peraturan secara menyeluruh boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.

Poay Tiong turut mengaitkan arahan berkenaan dengan pendekatan dasar agama konservatif dalam pentadbiran awam serta kepemimpinan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir, Dr, Ahmad Samsuri Mokhtar.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan