• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

120 Pelajar Cemerlang SPM, STAM Dan STPM Terima Insentif JPINT

KUALA TERENGGANU, 26 November- Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) meraikan 120 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) negeri ini sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka.

Pengarah JPINT, Lothman Awang berkata, suntikan semangat dan pengiktirafan yang diberikan kepada pelajar secara tidak langsung akan menyemai motivasi dalam diri mereka ke arah lebih cemerlang dan progresif.

“Tahniah dan syabas kepada anak pelajar atas kecemerlangan yang dicapai dalam peperiksaan SPM, STAM dan STPM yang lalu.

“Semoga terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi dan dapat memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

“Tidak ketinggalan ucapan tahniah saya tujukan kepada barisan pengetua Sekolah Menengah Agama Terengganu yang berjaya melahirkan dan memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti sehingga mencapai kecemerlangan tertinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hafl Al-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu 2023 di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, hari ini.

Pada majlis itu, dua pelajar cemerlang STAM iaitu Muhammad Hanif Hishamuddin dan Ain Sofiah Harun dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Exco & Anugerah Khas Pendidikan Islam bagi kategori lelaki dan wanita.

Manakala Wan Amzar Izzudin Wan Mohd Azlan dan Abdul Muizz Hasanulddin dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin pula dinobatkan sebagai pemnerima Anugerah Debat Qatar.

Majlis penyampaian insentif dan anugerah tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi Dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat.

Lothman berkata, kecemerlangan yang ditunjukkan oleh penerima anugerah diharap akan menjadi pemangkin kepada para pelajar mempertingkatkan pencapaian mereka dalam bidang akademik dan bukan akademik pada masa hadapan.

“Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan penghargaan pihak sekolah kepada pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembelajaran pada tahun itu.

“Tahap pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh menjadi contoh serta ikutan kepada pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada masa akan datang,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri melalui JPINT sentiasa mengalu-alukan usaha dan insentif pelbagai pihak untuk bersama-sama memacu kecemerlangan pendidikan negara dan melahirkan modal insan yang berkualiti.