• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

128 Ladang Ayam Penuhi Keperluan Rakyat Terengganu

KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Terengganu mempunyai 128 ladang ayam di seluruh negeri yang mampu menghasilkan 3.3 juta ekor ayam bagi satu pusingan pengeluaran atau 17 juta ekor setahun melibatkan lima pusingan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pada tahun lalu, sebanyak 30,722 metrik tan ayam telah dihasilkan berbanding 42,880 metrik tan keperluan rakyat negeri ini dengan Tahap Sara Diri (SSL) sebanyak 64.18 peratus. 

“Bagaimanapun, Terengganu belum mempunyai ladang ayam penelur dan keperluan telur ayam di negeri ini adalah sebanyak 465 juta biji setahun dibekalkan dari ladang-ladang ayam penelur luar Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.

Dr Azman juga berkata kerajaan negeri telah membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telaga Papan, Setiu dan TKPM Mengabang Bakong, Kuala Nerus sebagai Zon Penternakan Unggas lengkap dengan infrastruktur asas.

Tambah beliau, zon berkenaan merupakan antara langkah kerajaan memajukan industri ternakan ayam di negeri ini.

“Dalam masa yang sama, kita mengalu-alukan pemaju yang berminat dalam industri ternakan unggas memanfaatkan ruang lot di TKPM Telaga Papan dan Mengabang Bakong bagi  meningkatkan pengeluaran ayam sekaligus mencapai keperluan ayam di negeri ini.

“Kadar sewaan lot tanah itu adalah murah iaitu sebanyak RM200 setahun bagi satu hektar yang lengkap dengan infrastruktur asas seperti jalan serta bekalan elektrik,” katanya