• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

13 Rumah Terlibat Banjir Lumpur Terima Bantuan

DUNGUN, 20 Disember - Pihak perlombongan kuari Tebing Tembah iaitu TI Properties, dan Persona Venture Sdn Bhd mengambil inisiatif memberikan bantuan kepada 13 buah rumah mangsa banjir lumpur di Tebing Tembah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, pihak tersebut telah menyampaikan sumbangan keperluan harian serta wang tunai kepada keluarga yang terkesan akibat bencana alam itu.

"Usaha ini diharapkan dapat membantu mereka yang kehilangan harta benda dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka," katanya.

Salah satu keadaan sebuah rumah mangsa ditimpa banjir lumpur.

Terdahulu, pengusaha perlombongan kuari Tebing Tembah menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) melakukan kerja-kerja menggali kembali sistem perparitan dan membina benteng penghadang bagi mengurangkan kebimbangan penduduk setempat daripada terjadi lagi kejadian banjir lumpur.

Masalah hakisan tanah runtuh dari bukit di kawasan itu telah menyebabkan parit di Kampung Panchor disini yang memiliki kedalaman dua meter tertimbun dan menyebabkan 13 buah rumah mangsa ditimpa musibah banjir lumpur.

Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menunjukkan keprihatinan terhadap mangsa banjir.

"Kerjasama dan sokongan dari pihak swasta adalah penting dalam bersama-sama membantu komuniti yang terjejas oleh bencana alam.

"Selain itu, usaha ini turut mencerminkan tanggungjawab sosial korporat yang dipegang oleh syarikat-syarikat terlibat," ujarnya.

Katanya, orang ramai juga diminta untuk terus bersatu padu dan memberikan pertolongan dan sokongan kepada pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir lumpur.


Tag: