KUALA TERENGGANU, 16 Disember – Seramai 134 asnaf Batu Rakit menerima sumbangan Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, TDM Berhad melalui penyaluran bantuan kewangan dan barangan keperluan asas berjumlah RM20,000 dalam program TDM Bersama Masyarakat yang diadakan di Dewan Wakaf Catur Maras.
Program kolaborasi bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit itu merupakan usaha TDM Berhad memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan komuniti setempat sekali gus membantu meringankan beban golongan memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin dalam satu kenyataan berkata, program TDM Bersama Masyarakat mencerminkan pendekatan holistik Kumpulan dalam memperkukuh kesejahteraan sosial jangka panjang melalui sokongan berterusan, kerjasama strategik dan penglibatan komuniti bersama pemimpin tempatan serta agensi berkaitan, termasuk MAIDAM dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit.
"Inisiatif ini turut menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan melalui bantuan kepada golongan asnaf (SDG 1), memastikan akses kepada keperluan asas seperti makanan dan barangan harian (SDG 2), serta menyokong kesihatan dan kesejahteraan yang baik melalui pendekatan holistik merangkumi aspek fizikal dan rohani (SDG 3)," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail yang menyempurnakan majlis penyerahan bantuan tersebut menzahirkan penghargaan kepada TDM dan semua agensi terlibat atas komitmen berterusan dalam menyantuni kebajikan komuniti setempat, khususnya golongan asnaf.
"Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberikan bantuan secara segera kepada mereka yang memerlukan, malah yang lebih penting, ia memperkukuh semangat keprihatinan, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
"Usaha berterusan ini membuktikan bahawa kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan, sekali gus mengukuhkan perpaduan dan nilai kemanusiaan di peringkat akar umbi," ujarnya.