Berita :
Dua Lelaki Direman Tujuh Hari Disyaki Pukul Warga Asing, Rosakkan Harta Benda
Dua Lelaki Direman Tujuh Hari Disyaki Pukul Warga Asing, Rosakkan Harta Benda
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
75

KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Dua lelaki direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul seorang lelaki warga asing dan merosakkan harta benda di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang.

Perintah reman terhadap suspek berusia 21 dan 23 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata polis menerima laporan berhubung kejadian seorang lelaki warga asing dipukul sekumpulan lelaki tempatan pada kira-kira 7.25 malam.

Beliau berkata kejadian berlaku di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas dan dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan beberapa individu tempatan sehingga menyebabkan mangsa cedera serta berlaku kerosakan harta benda.

"Tindakan pantas orang awam yang menyaksikan kejadian itu bersama pihak polis yang hadir ke lokasi berjaya mengawal keadaan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Mohd Khairi berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan.

Beliau turut menegaskan bahawa polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang sengaja melanggar undang-undang.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhd Khairunnas Amir di talian 014-7258463 atau talian am 09-6182222," katanya.

Difahamkan, mangsa yang berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan pada bahagian kepala, muka dan lengan sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Nur Zahirah.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan