• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

137 Nelayan Terengganu 'Drive Thru' Terima Lesen Sampan

KUALA NERUS, 12 Ogos - Seramai 137 nelayan dari daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus memperolehi lesen sampan khas daripada kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Malaysia (Jabatan Perikanan) Terengganu, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, penyerahan lesen tersebut dilakukan secara pandu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Alhamdulillah, kita dapat menyelesaikan salah satu isu utama yang dihadapi nelayan iaitu perlesenan. Berdasarkan pemutihan yang dibuat, kita ada sekitar 800 orang nelayan sampan zon A di seluruh Terengganu dan kita berjaya mendapatkan kelulusan khas 600 lesen bagi tahun ini.

"Hari ini, sebanyak 137 lesen diserahkan kepada nelayan di sini sebagai usaha membantu para nelayan zon A yang menjadikan aktiviti menangkap ikan sebagai punca pendapatan utama. Bagi nelayan daerah lain, penyerahan akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan di Pangkalan Batu Rakit, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.

Menurut Dr. Azman, penyerahan lesen itu turut memberi keistimewaan kepada nelayan tempatan daripada pelbagai sudut.

"Mereka telah berpuluh tahun menangkap ikan, tetapi tiada lesen. Apabila tiada lesen, nelayan dinafikan banyak hak antaranya elaun sara hidup nelayan, minyak bersubsidi dan kalau ada berlaku kemalangan di laut mereka tidak layak mendapat bantuan bencana.

"Hari ini, 137 orang nelayan kini menerimanya selepas penyerahan pertama yang dibuat bagi nelayan Besut dan Setiu sebanyak 84 lesen, awal tahun ini. Mudah-mudahan, mereka boleh cari rezeki dengan lebih tenang selepas ini," katanya.

Dalam program tersebut, kerja-kerja melabuhkan unjam turut diadakan di perairan Batu Rakit. Sebanyak 40 unjam dilabuhkan dan ia akan memberi manfaat kepada 20 hingga 30 orang nelayan bagi setiap pangkalan.

Bagi tahun 2021, Jabatan Perikanan melaksanakan tujuh program Melabuh Unjam iaitu di Pangkalan Tanjung bagi Kuala Terengganu, Pangkalan Bari di Setiu dan Pangkalan Kijal di Kemaman.

Selain pelabuhan unjam di Pangkalan Batu Rakit bagi Kuala Nerus hari ini, unjam akan turut dilabuhkan di Pangkalan Kuala Besut bagi Besut dan Pangkalan Pasir Putih di Marang.

 


Tag: